
ARKIB : 22/06/2011
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
Safee Sali tiba di KLIA dari Jakarta semalam untuk
menyertai skuad kebangsaan yang akan mengharungi Kelayakan Piala Dunia
menentang Taiwan 29 Jun ini.
SEPANG - Ketiadaan Norshahrul Idlan Talaha yang
tercedera urat pelipat lutut, tidak membimbangkan Safee Sali untuk membentuk
keserasian gandingan barisan depan skuad negara dengan mana-mana penyerang
lain.
Malah kemunculan Abdul Hadi Yahya yang dipanggil ke
skuad negara, dianggap mampu menampungnya, apatah lagi dengan persembahan
konsisten penyerang Terengganu itu yang mendahului carta penjaring terbanyak
Liga Super 2011.
"Dengan sesiapa saya berganding dan bermain
masih terpulang kepada jurulatih (Datuk K. Rajagobal). Bagi saya, persembahan
Hadi juga konsisten sekarang untuk Terengganu dan pasukan kebangsaan,"
katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekembalinya dari
Jakarta, semalam.
Khidmat penyerang kelab Indonesia, Pelita Jaya ini
amat ditagih skuad negara menjelang perlawanan pusingan pertama Kelayakan Piala
Dunia 2014 menentang Taiwan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 29 Jun ini.
Namun dia digantikan oleh Abdul Hadi ketika
Malaysia mengikat Hong Kong 1-1 di Stadium Siu Sai Wan, Hong Kong, 3 Jun lalu
dengan penyerang Terengganu itu berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit
ke-66.
Malah kata penyerang Terengganu itu ketika majlis
pelancaran tiket pasukan kebangsaan, minggu lalu: "Saya pernah bersama
Safee selama dua hingga tiga tahun semasa bersama Selangor, jadi ia bukan satu
masalah buat saya," katanya.
Safee, yang dikecualikan daripada menentang Myanmar
di Kota Bharu, 18 Jun lalu, bagaimanapun berkata: "Saya belum berpuas hati
dengan persembahan sendiri ketika persahabatan dengan Hong Kong itu.
"Persiapan juga belum terlalu rapi namun
sekarang keadaan pasti berubah kerana masih ada waktu yang panjang untuk terus
memupuk keserasian," kata Penjaring Terbanyak Piala Suzuki AFF 2010 itu.
Menurut Safee, perkembangan skuad negara terutama
ketika menewaskan Myanmar 2-0 di Kota Bharu, tidak lepas daripada pemantauannya
biarpun berjauhan daripada rakan sepasukan.
"Saya mengikuti perkembangan mereka dari sana.
Persembahan pasukan kita amat bagus dan saya harap kembalinya dapat membantu
serba sedikit bagi Malaysia membawa bekalan selesa di Bukit Jalil (Kelayakan
Piala Dunia 2014 menentang Taiwan).
"Sudah lama juga saya tidak bermain di Bukit
Jalil malah sudah merindui suasana di sana dan bermain di Malaysia dengan
menyarung jersi pasukan kebangsaan sambil berharap mampu menyumbangkan
persembahan dan keputusan yang terbaik," katanya.
Tiga lagi penyerang yang disenaraikan Rajagobal
turut tercedera iaitu Ahmad Fakri Saarani, Shahrizal Saad dan S. Chanturu
sehingga jurulatih itu terpaksa mencalonkan Izzaq Faris Ramlan, walaupun agak
hambar ketika menentang Lebanon dalam Kelayakan Olimpik, Ahad lalu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz5eSA66dUg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan