ARKIB : 30/07/2011
K
Safee Sali

KUALA LUMPUR - Penyerang skuad Harimau Malaya,
Safee Sali ternyata kecewa dengan penyingkiran Malaysia pada pusingan kedua
Kelayakan Piala Dunia 2014 dan menganggap kegagalan tersebut sebagai pengajaran
buat semua pemain.
Sukar untuk ditafsirkan erti 'pengajaran' tersebut
tetapi mungkin apa yang dikatakan Safee terarah kepada kelemahan pasukan
Malaysia yang banyak perlu diperbaiki, walaupun sebelum ini dijulang dengan
kejayaan pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF.
Menurut penyerang kelab Indonesia, Pelita Jaya itu,
mereka sudah memberikan yang terbaik pada perlawanan kelmarin dengan
melancarkan serangan ke atas kubu Singapura tetapi hanya berjaya memperoleh
satu gol.
"Kita gagal untuk menjaringkan gol selepas itu
malah melepaskan gol kepada pihak lawan, barisan pertahanan sedikit leka. Untuk
itu saya meminta maaf kepada penyokong kerana gagal membantu Malaysia mara ke
pusingan seterusnya ," katanya selepas perlawanan kelmarin.
Jelasnya, Singapura adalah sebuah pasukan yang
bagus dan dia bersama rakan-rakan yang lain sudah mencuba sedaya upaya untuk
menjinakkan skuad bimbingan Radojko Avramovic namun gagal.
"Kami mencuba sebaik mungkin untuk kembali
merapatkan defisit gol bagaimanapun mereka dapat bertahan dengan baik dan saya
begitu kecewa kami gagal walaupun saya dapat menjaringkan tiga gol dalam
kedua-dua perlawanan.
"Apa pun ini adalah pasukan muda, perjalanan
mereka masih jauh lagi, saya harap mereka dapat bangkit semula pada perlawanan
atau kejohanan seterusnya selepas ini," kata Safee.
Safee bertindak sebagai ketua pasukan kelmarin,
menggantikan Safiq Rahim yang digantung perlawanan akibat menerima kad merah
pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura yang menyaksikan
Malaysia tewas 3-5.
Kelmarin, di Stadium Nasional Bukit Jalil skuad
Harimau Malaya sekadar mencatat keputusan seri 1-1 , menjadikan agregat 4-6
seterusnya gagal untuk ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia walaupun
mendapat sokongan 90,000 penyokong.
Bagaimanapun Safee mengakui tahap keyakinannya
semakin meninggi selepas menimba ilmu dalam Liga Super Indonesia bersama
pasukan Pelita Jaya dan segala pengalaman tersebut digunakan sebaiknya ketika
beraksi dengan skuad kebangsaan.
"Saya akan berlatih bersungguh-sungguh untuk
terus meningkatkan permainan saya. Saya tidak boleh berpuas hati setakat ini
sahaja, banyak perkara lagi yang perlu saya pelajari," kata pemain berusia
27 tahun itu.
Safee memberikan sedikit harapan kepada penyokong
Malaysia apabila menjaringkan gol pada minit ke-57 kelmarin.
Namun 13 minit kemudian Shi Jiayi berjaya
menyamakan kedudukan seterusnya menutup peluang Malaysia.
SUMBER
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5ecVtUNDD
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan