ARKIB : 16/07/2011
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

SAFEE Sali (kanan) mengetuai latihan skuad negara
di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - utusan/AHMAD ZAKKI JILAN
KUALA LUMPUR - Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K.
Rajagobal mengharapkan 'pemain ke-12' mampu membantunya pada aksi persahabatan
menentang pasukan Liga Perdana England (EPL), Liverpool di Stadium Nasional,
Bukit Jalil, hari ini.
Menurut Rajagobal, pada masa yang sangat genting
ini penyokong-penyokong harus memainkan peranan untuk memberi sokongan tidak
berbelah bahagi kepada skuad Harimau Malaya.
"Saya tidak faham mengapa dalam keadaan
seperti ini sebahagian daripada mereka tidak memberi sokongan kepada skuad
kebangsaan, mereka harus bertindak bijak tidak boleh membandingkan antara
Malaysia dan pasukan EPL," katanya ketika ditemui media selepas latihan
skuad kebangsaan di Stadium Nasional, semalam.
Jelas beliau, sokongan padu penyokong tempatan
setidak-tidaknya mampu untuk memberikan kesan positif kepada pemain Malaysia,
malah ada di antara orang luar yang memuji aksi skuad kebangsaan.
"Kita lihat komen yang diberikan oleh pemain
Arsenal, Bacary Sagna sebelum ini apabila dia memuji skuad kebangsaan yang
sukar untuk dibolosi pada separuh masa pertama. Cuma sepakan penalti yang
sedikit mengubah rentak permainan negara.
"Saya harap semua penyokong tempatan faham
walau macam mana sekali pun Malaysia tetap negara mereka, saya tidak cakap
semua penyokong seperti itu hanya sebahagian daripada mereka sahaja,"
katanya.
Rajagobal merayu bahawa hanya untuk satu hari ini
sahaja penyokong setia Liverpool di Malaysia perlu memberi sokongan kepada
skuad kebangsaan dan memakai jersi kedua kebangsaan berwarna biru.
Dalam perkembangan sama, Rajagobal berkata, beliau
amat gembira dengan perkembangan Safee Sali yang semakin pulih dari
kecederaannya dan harap pemain itu sembuh 100 peratus menjelang pertemuan
dengan Singapura dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2014 pusingan kedua 23
dan 28 Julai ini.
"Saya gembira dengan perkembangannya,
bagaimanapun ia masih menjadi tanda tanya sama ada dia akan diturunkan esok
(hari ini), kerana semua orang sedar masalah Malaysia sekarang ini adalah di
bahagian serangan.
"Kita kena cuba sekarang ini membina kekuatan
di bahagian tersebut melalui pemain tengah, saya harap semua faham dengan
keadaan ini," katanya yang besar kemungkinan akan menggandingkan Abd. Hadi
Yahya dan Ahmad Fakri Saarani di bahagian serangan menentang Liverpool hari
ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eYh8H65h
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan