ARKIB : 29/07/2011
Oleh FERZALFIE FAUZI, TAN MING WAI dan DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my

Gol tunggal Malaysia jaringan Mohd. Safee Sali
(kiri) belum cukup melemahkan kesebelasan Singapura yang akhirnya memusnahkan
harapan skuad negara apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi Shi Jiayi,
malam tadi. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
KUALA LUMPUR - Malaysia terpaksa menunggu empat
tahun lagi untuk beraksi semula di peringkat kelayakan Piala Dunia apabila
ditunjukkan jalan keluar oleh Singapura pada perlawanan timbal balik pusingan kedua
kelayakan Piala Dunia 2014, semalam
Stadium Nasional Bukit Jalil dan 90,000 penyokong
Harimau Malaya menjadi saksi detik kejatuhan Harimau Malaya apabila sekadar
mencatat keputusan seri 1-1 untuk membawa kepada kekalahan agregat 6-4.
Jaringan Safee Sali pada minit ke-57 tidak mampu
untuk meningkatkan semangat rakan-rakannya yang lain apabila Singapura berjaya
menjaringkan gol penyamaan 13 minit kemudian melalui Shi Jiayi.
Aksi sederhana pada separuh masa pertama boleh
menjadi punca utama skuad negara gagal untuk menyaingi Singapura, di tambah
dengan ketiadaan pemain perancang dan ketua pasukan, Safiq Rahim.
Safiq digantung perlawanan apabila menerima kad
merah pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar yang menyaksikan Malaysia
tewas 3-5.
Anak buah Datuk K. Rajagobal ternyata kurang selesa
dengan kelebihan yang ada pada pemain Singapura iaitu kekuatan fizikal dan
hantaran jauh.
Rajagobal mengakui, pasukannya tidak bermain
agresif pada babak pertama, malah mengakui kealpaan benteng sekali lagi
menghukum mereka ketika membenarkan Singapura merobek gawang pada separuh masa
kedua.
"Kami tidak kalah, kami seri malam ini tetapi
kami gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Kami tidak bermula agresif
walaupun ada masanya kita membuat serangan, cuma di separuh masa kedua pemain
mula menunjukkan permainan lebih baik tetapi ia tidak mencukupi.
"Saya rasa, apabila Aidil (Zafuan Abd. Radzak)
terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan, ia menganggu perancangan pasukan. Dia
keluar terlalu awal dan memaksa kami memasukkan Muslim,'' kata Rajagobal.
Hasrat untuk melihat pemain pertahanan
berpengalaman, Aidil beraksi selama 90 minit tidak tercapai apabila dia
dikeluarkan pada minit ke-27 dan digantikan dengan Muslim Ahmad apabila
mengalami kecederaan.
Harapan menggunung penyokong Harimau Malaya untuk
melihat Malaysia bangkit pada separuh masa kedua gagal dijelmakan manakala
Singapura ampuh bertahan hasil permainan mantap pemain pertahanan Daniel
Bennett.
Pemain tengah, Ismail Faruqi seperti kekeringan
idea untuk merencanakan serangan bahaya tatkala Singapura mengharapkan
kehebatan pemain kelahiran China, Jiayi dan Qiu Li.
Gandingan Safee dan Abd. Hadi Yahya juga tidak
begitu menjadi apabila tidak mempunyai keserasian yang mantap tatkala S.
Kunanlan gagal mempamerkan permainan lincah seperti dalam perlawanan sebelum
ini.
Ibarat jatuh sudah ditimpa tangga aksi penutup
perlawanan Malaysia Singapura dicemari dengan layangan kad merah kepada pemain
gantian negara, Ahmad Fakri Saarani pada masa kecederaan.
Bagaimanapun, pujian layak diberikan kepada penjaga
gol skuad Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat yang beberapa kali
menyelamatkan percubaan merbahaya pihak lawan.
Apa-pun kita perlu menerima hakikat bahawa masih
banyak kelemahan yang perlu diperbaiki jika berhasrat untuk beraksi pada
peringkat yang lebih jauh pada kelayakan Piala Dunia 2018.
Sementara itu, penjaga gol negara, Khairul Fahmi
Che Mat berkata, Singapura berhak melayakkan diri ke pusingan seterusnya kerana
menunjukkan permainan yang lebih baik. "Kita tidak kalah malam ini, cuma
kita seri. Singapura lebih layak dan berhak ke pusingan seterusnya,'' kata
Khairul Fahmi.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5ecSSiBzq
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan