Oleh FERZALFIE FAUZI dan MUHAMMAD DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my

Abdul Hadi Yahaya menjadi pilihan K. Rajagobal pada
posisi penyerang ekoran kecederaan Safee Sali apabila skuad negara menentang
Taiwan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia di Taipei, Ahad ini.
KUALA LUMPUR - Skuad negara ke Taipei semalam bukan
sahaja tanpa bekalan selesa apabila cuma menang 2-1 ke atas Taiwan di laman
sendiri pada Kelayakan Piala Dunia, tetapi dihimpit risiko kehilangan Safee
Sali pada aksi timbal balik, Ahad ini.
Kelibat Safee hanya sempat disaksikan pada babak
pertama perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin, apabila pemain itu
dikeluarkan akibat cedera bahagian urat pelipat lutut.
Situasi itu pastinya merumitkan lagi misi skuad
negara untuk menembusi kubu lawan di Taipei, kerana Taiwan kini yang memiliki
kelebihan apabila meledak satu gol di sini, kelmarin.
Jurulatih Datuk K. Rajagobal sememangnya berdepan
masalah tidak banyak pilihan di bahagian penyerang sejak aksi persahabatan
dengan Myanmar di Kota Bharu 18 Jun lalu dan terpaksa menggunakan penyerang
Terengganu, Abd. Hadi Yahya sambil dibantu oleh Baddrol Bakhtiar.
Ekoran masalah terbaru yang membelenggu skuad
negara, Rajagobal berdepan tugas berat untuk membentuk percaturan bahagian
serangan pada aksi di Stadium Perbandaran Taipei, Ahad ini.
"Apa-apa pun, menang tetap menang (di sini),
tetapi saya akan melihat kecederaan yang menimpa Safee. Saya rasa dia mungkin
tidak dapat beraksi dalam perlawanan kedua kerana masalah urat pelipat
lutut," katanya selepas perlawanan kelmarin.
Ini bermakna skuad kebangsaan kehilangan dua
penyerang utama termasuk Norshahrul Idlan Talaha yang menjadi watak penting
ketika menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, kecuali jika pemain itu pulih menjelang
pertemuan Ahad ini.
Selain Abdul Hadi dan Baddrol, Rajagobal masih
memiliki seorang lagi calon yang mampu mengisi kekosongan bahagian serangan
iaitu Ahmad Fakri Saarani, yang dimasukkan sebagai pemain gantian kelmarin.
Namun, Ahmad Fakri gagal membentuk gandingan mantap
bersama Abdul Hadi, apabila mereka digandingkan buat pertama kali namun
terlepas beberapa peluang untuk menambah jaringan pada babak kedua kelmarin.
Sementara itu, pada bahagian tengah Malaysia
mungkin tidak dapat menggunakan khidmat ketua pasukan, Safiq Rahim yang mengalami
kecederaan di bahagian lutut, namun tahap kecederaan tersebut masih menjadi
tanda tanya.
Namun, tiada masalah besar buat Rajagobal pada
posisi lain termasuk penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli yang
memberikan persembahan baik, namun kesilapan barisan pertahanan membiarkan Chen
Po Liang menjaringkan gol kelmarin, sesuatu yang tidak boleh diterima.
Gandingan Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Fadhli Shas
agak leka sehingga membolehkan Taiwan memperoleh jaringan yang amat diperlukan
mereka sebagai bekalan untuk perlawanan di gelanggang sendiri.
"Jaringan pasukan lawan akibat kelalaian
pertahanan kita," kata Rajagobal
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0701&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eTKEXebd
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan