ARKIB : 15/07/2011
Oleh FERZALFIE FAUZI dan ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal mengendalikan
sesi latihan skuad negara semalam sebagai persediaan menentang Liverpool
sempena Jelajah Asia kelab Liga Perdana England itu di Stadium Nasional Bukit
Jalil, esok. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
KUALA LUMPUR - Jika Guangdong Sunray Cave mampu
menjaringkan gol untuk merapatkan jurang kekalahan 4-3 kepada Liverpool
kelmarin, penyerang utama negara, Safee Sali tidak nampak sebarang sebab untuk
Harimau Malaya tidak mampu mengikut jejak kelab China itu, esok.
Malah ayam tambatan Pelita Jaya Indonesia itu sudah
tidak sabar-sabar untuk kembali menemui sentuhan jaringan sambil mengakhiri
kemarau gol antarabangsa sejak menjulang Piala Suzuki AFF, Disember lalu.
Sudahlah tidak dapat diturunkan ketika Malaysia
dibedil Arsenal 4-0 angkara kecederaan, Safee turut kecewa apabila sekadar
menjadi pemerhati dari tepi padang pada persahabatan Jelajah Asia skuad
Gunners, kelmarin.
"Kecewa pun ada, geram pun ada sebab tidak
dapat menyertai dan membantu rakan sepasukan mencari sebarang gol menentang
Arsenal, tetapi saya kini berasa sudah sembuh daripada kecederaan tendon urat
pelipat lutut.
"Jika diberi peluang bermain oleh jurulatih,
tekad saya ialah jaringkan gol. Saya pun sudah lama tidak melakukannya
(sepanjang tahun ini)," kata anak jati Kajang, Selangor di Stadium
Nasional, Bukit Jalil selepas sesi latihan.
Safee turut mengajak peminat melupakan kekalahan
dengan Arsenal dan mengambil pengajaran daripada kejayaan Guangdong Sunray Cave
yang cuba bangkit menyaingi Liverpool, antara gergasi bola sepak England dan
Eropah.
"Pasti ada caranya (menjaringkan gol ke atas
Liverpool), kalau kelab China itu boleh, mengapa tidak Malaysia?,"
katanya.
Namun apa yang mampu menjadi penghalang Safee untuk
berdepan anak buah 'King' Kenny ialah kerana tahap kecergasan bagi mengharungi
pemain bertaraf dunia berbeza dengan perlawanan terakhir menentang Taiwan dalam
pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014.
"Saya juga baru dapat tahu Mat Yo (Norshahrul
Idlan Talaha) mungkin tidak dapat diturunkan kerana kecederaan urat pelipat
lutut yang berulang," katanya yang mungkin digandingkandengan Abdul Hadi
Yahya, Shahrizal Saad atau Ahmad Fakri Saarani di bahagian depan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5eYShMC3I
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan