ARKIB : 28/07/2011

Pemain-pemain Malaysia ceria menjalani latihan di
Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam menjelang pertemuan menentang Singapura
pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 malam ini . - utusan/FAUZI
BAHARUDIN
KUALA LUMPUR - Tatkala pengendali skuad Harimau
Malaya, Datuk K. Rajagobal masih berteka-teki siapakah bakal memakai lilitan
lengan kapten pada perlawanan getir menentang Singapura hari ini, dua calonnya,
Mohd. Safee Sali dan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak menyatakan kesediaan untuk
menggalas tugas berat itu.
Salah seorang mereka yang disenarai pendek
Rajagobal mengisi kekosongan besar yang ditinggalkan ketua pasukan, Safiq Rahim
selepas dia dilayangkan kad merah pada perlawanan pertama di Singapura tempoh
hari.
Rajagobal bagaimanapun masih mahu merahsiakan
sehinggalah pada sesi taklimat pagi ini.
Penyerang berbisa, Mohd. Safee berkata, dia sudah
bersedia memimpin skuad sekiranya diberi mandat oleh jurulatih dan baginya, ia
bukan satu pengalaman baru.
"Ia bukan satu beban kerana saya pernah
menjadi kapten skuad Bawah-23 beberapa tahun lalu. Jika saya dipilih, saya akan
buat yang terbaik dan cuba membimbing rakan-rakan sepasukan dengan pengalaman
yang ada," katanya yang merupakan pemain paling senior dalam skuad itu.
Sementara itu, Aidil Zafuan bersedia menerima apa
jua keputusan Rajagobal hari ini tetapi baginya, soal siapa menjadi kapten
tidaklah begitu penting.
"Tugas kapten memang tanggungjawab berat
tetapi jika saya dipilih akan saya cuba pikulnya sebaik mungkin. Apa yang lebih
penting ialah kami dengan berbekalkan semangat berpasukan tinggi mencapai
kejayaan esok (hari ini)," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5ecQ7i8sc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan