Jumaat, 1 Februari 2019

Safee lepas rindu


ARKIB : 31/05/2011
 
Safee Sali (tengah) tampak ceria menjalani latihan bersama rakan sepasukan di padang FAM, Kelana Jaya semalam.
PETALING JAYA - Penyerang sensasi, Safee Sali yang turun berlatih bersama skuad kebangsaan buat kali pertama selepas lebih tiga bulan menyepi, yakin pengalaman beraksi di Liga Super Indonesia telah meningkatkan mutu permainannya sekali gus dapat membantu menghadapi kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan nanti.

Safee yang telah meledak enam gol dalam 10 penampilan bersama Pelita Jaya, tiba ke tanah air kelmarin sejurus selesai beraksi dalam perlawanan liga menentang PSPS Pekan Baru. Pelita Jaya bagaimanapun tewas 0-1.

Turun berlatih di Wisma FAM petang ini, Safee langsung tidak menunjukkan sebarang tanda keletihan, sebaliknya berlatih penuh semangat.

Mungkin rindunya terhadap menyarung jersi kuning hitam terlalu mendalam, dia tidak sabar untuk turun aksi persahabatan menentang Hong Kong, Jumaat ini.

"Saya gembira untuk kembali bersama skuad kebangsaan dan keyakinan saya bertambah selama tiga bulan bermain di Indonesia.

"Saya harap ia dapat memberi manfaat dan membantu pasukan mencatat keputusan positif dalam perlawanan-perlawanan akan datang, bermula di Hong Kong," katanya sebelum memulakan sesi latihan.

Ditanya sama ada dia berasa janggal selepas lama tidak bermain bersama rakan-rakan, jelas Safee, dia tidak merasakan demikian.

"Tidak, saya tak rasa kekok kerana sebelum ini pernah lebih lama lagi tidak dipanggil... saya sudah biasa dengan keadaan ini," ujarnya.

Bekas penyerang Selangor itu juga sedar harapan tinggi yang disandarkan kepadanya oleh jurulatih, K. Rajagobal dan dia sudah cukup bersedia menghadapi tekanan itu.

Sementara itu, Rajagobal mengalu-alukan kepulangan Safee dan percaya dia tidak berdepan masalah menyesuaikan diri semula dalam skuad kendaliannya.

"Safee ialah seorang pemain profesional, jadi tidak timbul masalah seperti dia tidak dapat menyesuaikan diri atau sebagainya," katanya.



SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0531&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eLVrzah9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan