Selasa, 19 Februari 2019

Safee Sali sah meninggalkan Perlis


MOHAMAD FIRDAUS ABDULLAH
18 Februari 2019 9:55 PM
Safee
 Safee
Safee enggan kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) terus menjadi titik hitam dalam kariernya.

KUALA LUMPUR - Bekas penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali sah meninggalkan Perlis selepas pasukan tersebut terus gagal melunaskan tunggakan gaji para pemainnya.

Keputusan tersebut diambil ekoran pemain berusia 35 tahun tersebut enggan kemelut yang melanda Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) terus menjadi titik hitam dalam kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.


“Memang sah saya telah meninggalkan pasukan Perlis dan ia merupakan keputusan peribadi.

“Saya telah berfikir secara mendalam sebelum membuat keputusan seperti ini biarpun saya berada pada pihak yang benar.

“Malah, ia tidak menjadi masalah kepada saya untuk angkat kaki dari pasukan Perlis kerana jika ikut kontrak secara automatik ia sudah terbatal ekoran PFA gagal membayar gaji saya selepas dua bulan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. - K! ONLINE 18 Februari 2019 9:55 PM

Safee hampir pasti ke PJ City


SUKAN»Bola
Selasa, 19 Februari 2019 | 5:06pm
BEKAS penyerang Perlis, Safee Sali kini hanya setapak lagi untuk bergelar pemain baharu Petaling Jaya City FC bagi musim 2019. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Safee hampir pasti ke PJ City
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas penyerang Perlis, Safee Sali kini hanya setapak lagi untuk bergelar pemain baharu Petaling Jaya City FC (PJ City FC) bagi musim 2019.

Perkembangan itu didedahkan oleh jurulatih skuad Liga Super itu, K Devan ketika dihubungi BH Sukan, sebentar tadi.

Devan mengesahkan pengurusan PJ City FC sedang mengadakan rundingan bersama penyerang kebangsaan itu  hari ini dengan keputusan mengenai rundingan terbabit dijangka diketahui secepat mungkin.

“Perbincangan sedang dilakukan dan jika semuanya berjalan lancar, kita melihat tiada masalah untuk Safee beraksi bersama PJ City FC.

“Apapun, saya serahkan kepada pengurusan tertinggi untuk membuat kenyataan rasmi mengenai perkara ini . Saya dimaklumkan satu sidang media akan dilangsungkan esok,” katanya.

Terdahulu, bekas penyerang PKNS FC itu nyata masih 'laku' dan memiliki aura tersendiri selepas lebih lima pasukan berminat untuk mendapatkan khidmatnya sebelum jendela perpindahan pertama ditutup, esok.

Sah meninggalkan Perlis selepas pasukan itu berdepan tunggakan gaji, penyerang berusia 35 tahun itu mendedahkan dia akan bersama sebuah pasukan berpangkalan di Lembah Klang yang beraksi dalam saingan Liga Super.   



"Saya tidak boleh memaklumkan pasukan mana kerana masih lagi berada dalam perbincangan. Saya juga perlu memikirkan dengan keluarga saya mengenai keputusan ini.    

“Memang saya mendapat banyak tawaran seperti dari PJ City FC, Selangor, Kelantan dan UiTM FC. Banyak panggilan telefon diterima tetapi saya perlu menghormati kontrak saya bersama Perlis.    

"Apapun, kali ini saya tekad dengan keputusan ini dan saya memerlukan masa untuk membuat keputusan yang terbaik demi karier saya," katanya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 19 Februari 2019 | 5:06pm

Isnin, 18 Februari 2019

Safee angkat kaki


MyMetroArena
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
 
SEGALA teka teki pemain pertama yang akan ‘cabut’ meninggalkan pasukan Perlis akhirnya terjawab apabila penyerang sensasi mereka Safee Sali mengesahkan tidak lagi meneruskan khidmat bersama Singa Utara.

Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim itu dikhabarkan sudah disambar pasukan Liga Super yang berpangkalan di Lembah Klang dan keputusan yang diambil itu demi masa depannya apabila melihat Singa Utara semakin hilang arah.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Safee ketika ditemui pada sesi latihan bersama Perlis di Universiti Malaya (UM) hari ini, apabila dia mengucapkan salam terakhir kepada pemain Singa Utara sebelum meninggalkan pasukan berkenaan.

Katanya, keputusan tekad meninggalkan Perlis diambil selepas berbincang dengan ahli keluarga bagi menentukan hala tuju masa depannya apabila mengalami masalah tunggakan gaji sebelum ini.

“Setakat ini saya tidak mahu mengumumkan pasukan mana yang akan diwakili namun ia berpangkalan di Lembah Klang dan keputusan itu dilakukan demi masa depan saya.

“Saya tidak boleh buat sebarang penjelasan secara terperinci namun apa yang boleh sahkan akan bermain untuk pasukan lain sebelum tarikh tutup pendaftaran pemain berakhir,” katanya, ketika ditemui selepas tamat sesi latihan pasukan Perlis di UM, hari ini.

Perlis dihimpit pelbagai isu apabila gagal menyelesaikan tunggakan gaji hingga timbul pelbagai spekulasi bahawa pemain mereka bakal angkat kaki.

Bekas penyerang kebangsaan itu turut mengakui menerima lebih lima tawaran termasuklah daripada pasukan ternama selepas mengetahui dia menghadapi masalah tunggakan gaji.

“Saya boleh katakan Safee masih lagi laku apabila ada banyak pihak termasuklah pasukan Selangor, PJ City, Kelantan dan UiTM yang menyatakan minat serta kesediaan untuk mengambil saya.

“Namun, saya perlulah menghormati kontrak ketika bersama Perlis dan tidak boleh mengambil sebarang keputusan terburu-buru,”katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 7:15 PM


Safee tinggalkan Perlis, PFA tidak berperikemanusiaan dan berhati perut

SAFEE Sali
SAFEE Sali. - UTUSAN ONLINE
MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

18 Februari 2019 8:18 PM

KANGAR 18 Feb. - Bekas penyerang sensasi kebangsaan, Safee Sali mengesahkan tidak lagi bersama pasukan Perlis.

Perkembangan itu sekali gus memberi tamparan hebat kepada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang masih gagal melunaskan gaji para pemain dan barisan kejurulatihan sejak tiga bulan lalu.


Dijangka lebih ramai pemain termasuk Mohd. Badri Radzi atau Piya bakal mengangkat kaki meninggalkan Singa Utara yang sedang beraksi dalam Liga Perdana ketika ini.

Safee dalam status Facebooknya hari ini berkata, beliau membuat keputusan untuk tidak lagi bersama Perlis selepas mendapati pihak pengurusan gagal memainkan peranan dengan baik.

Katanya, keputusan itu juga bertujuan memberi pengajaran kepada PFA yang disifatkan tidak berperikemanusiaan dan berhati perut.

“Segala yang saya curahkan dengan ikhlas memang tidak ada maknanya bagi pihak pengurusan. Pemain dan barisan kejurulatihan sudah bagi yang terbaik sama ada dalam latihan mahupun dalam perlawanan.

“Sayang memang sayang tapi keputusan saya tekad demi memberi pengajaran kepada pengurusan yang tidak berperikemanusiaan dan tiada berhati perut.

“Sudah banyak pengorbanan pihak jurulatih dan pemain lakukan... Mungkin ini jalan yg terbaik buat masa sekarang. Kita hanya boleh merancang tapi memang pasti Allah SWT yang tentukan 

Jumaat, 15 Februari 2019

Tiada sebab Rajagobal panik

ARKIB : 08/08/2011
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
hafiz.ahmad@utusan.com.my
 
Pemain Selangor, Mohd. Hardi Jaafar (depan) mematahkan gerakan Safee Sali pada aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, kelmarin. - UTUSAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH
KUALA LUMPUR - Bagi skuad negara, ia umpama sekadar memenuhi jadual latihan pusat tetapi bagi Selangor, aksi persahabatan di Stadium Shah Alam, kelmarin mampu memusatkan semula perhatian dan semangat pasukan menjelang Piala Malaysia, 6 September ini.

Anak buah Datuk K. Rajagobal yang gagal melepasi Singapura dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014, baru-baru ini, tewas dengan jaringan tunggal penyerang Selangor, Rudie Ramli menerusi rembatan kaki kiri separuh voli dari luar petak penalti.

Pelbagai gandingan pemain termasuk yang kembali dipanggil ke kem Wisma FAM sejak Rabu lalu, dicuba menentang barisan bimbingan K. Devan seperti Farizal Marlias, Norhafiz Zamani Misbah, Mohamad Azmi Muslim dan Khyril Muhymeen Zambri mahupun Joseph Kalang Tie.

Kata Rajagobal: "Ada pemain yang sekadar mampu bermain pada peringkat liga dan ada yang dipanggil semula selepas baru pulih daripada kecederaan, memerlukan lebih banyak masa dan pendedahan perlawanan untuk mendapatkan balik prestasi sebenar mereka.

"Tidak perlu panik (dengan kekalahan tipis kepada pasukan ketiga terbaik Liga Super 2011). Tujuan perlawanan ialah menguji pemain dan gandingan mereka dan menilai kemampuan tertentu. Ada juga yang dipanggil kembali itu memuaskan hati saya," katanya.

Rajagobal juga tidak dapat memastikan sama ada dia sudah beroleh lawan gantian bagi mengisi jadual latihan pusat dari 3 hingga 15 Ogos ini, selepas dua perlawanan persahabatan dengan Oman, Rabu ini dan Indonesia, minggu depan, dibatalkan atas sebab tertentu.

Sementara itu, pengurus pasukan baru Selangor, Datuk Hamidin Amin berkata, ia tetap satu suntikan semangat yang dicari-cari buat Gergasi Merah biarpun hanya menerusi perlawanan persahabatan pertama pramusim Piala Malaysia 2011.

Merah Kuning yang melepaskan tonggaknya, Safiq Rahim, Amirulhadi Zainal dan Asraruddin Putra Omar ke skuad negara kelmarin, berdepan laluan yang lebih mudah apabila diundi dengan Kuala Lumpur, T-Team dan Polis Diraja Malaysia dalam Kumpulan D Piala Malaysia.

Selangor yang kemarau gelaran musim ini setelah sekadar meraih tempat ketiga Liga Super dan terkandas pada separuh akhir Piala FA, turut mengatur enam lagi perlawanan persahabatan sepanjang Ramadan ini dengan kebanyakannya di Lembah Klang sahaja
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5falD4tIP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 5 Februari 2019

'Leburkan rekod kami Mat Yo'


Selasa, 27 November 2018 | 7:21pm
SAFEE Sali (kanan) dan Norshahrul Idlan Talaha.
'Leburkan rekod kami Mat Yo'
Oleh Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali berharap Norshahrul Idlan Talaha dapat mengekalkan naluri pemusnahnya bagi meleburkan rekod jaringan terbanyak pemain tempatan dalam kempen Piala AFF.

Setakat ini Norshahrul atau turut dikenali sebagai Mat Yo sudah mengumpul lapan gol dengan empat gol dihasilkan dalam kempen tahun ini untuk menghampiri rekod jaringan terbanyak yang dipegang Safee dan Indra Putra Mahayuddin dengan sembilan gol.

Safee yang muncul penjaring terbanyak ketika Malaysia muncul juara buat kali pertama dan terakhir pada 2010 menerusi ledakan lima gol percaya, Norshahrul boleh melakukannya apabila turun menentang Thailand dalam aksi timbal balik separuh akhir bermula Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Saya harap Mat Yo dapat meleburkan rekod jaringan kami itu sekali gus dapat membawa Malaysia ke final. Saya percaya dia boleh melakukannya kerana dia kini berada di prestasi terbaik," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP hari ini.

Safee, 34, pernah membentuk gandingan digeruni bersama Norshahrul selama beberapa tahun namun kali ini, bekas pemain PKNS FC itu tidak berada dalam perancangan jurulatih Tan Cheng Hoe.

Menurut pemain kelahiran Selangor itu, dia agak terkejut dengan kebangkitan yang ditunjukkan Norshahrul biarpun terpaksa bersaing dengan beberapa penyerang muda dalam pasukan.

"Agak terkejut dengan prestasi Mat Yo kerana dalam saingan Liga Malaysia, prestasinya tidak begitu menyerlah tapi akhir-akhir ini dia berjaya membuktikan kemampuannya. Namun kelebihan yang ada pada Mat Yo adalah kelincahan dan naluri pemusnahnya.”

Safee antara pemain yang beraksi dalam pasukan yang menewaskan Thailand 3-2 pada final Piala AFF 2014 di Bukit Jalil namun dikecewakan dengan keputusan agregat 4-3.

"Walaupun Thailand kita akui pasukan yang hebat, tapi kita tidak perlu terlalu memikirkan sangat mengenai mereka. Apa yang penting kita fokus kepada pasukan kita sendiri dan mengikut perancangan yang diatur jurulatih," jelasnya.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE Selasa, 27 November 2018 | 7:21pm

Isnin, 4 Februari 2019

Kekalahan jadi pengajaran - Safee


ARKIB : 30/07/2011
KSafee Sali
KUALA LUMPUR - Penyerang skuad Harimau Malaya, Safee Sali ternyata kecewa dengan penyingkiran Malaysia pada pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014 dan menganggap kegagalan tersebut sebagai pengajaran buat semua pemain.

Sukar untuk ditafsirkan erti 'pengajaran' tersebut tetapi mungkin apa yang dikatakan Safee terarah kepada kelemahan pasukan Malaysia yang banyak perlu diperbaiki, walaupun sebelum ini dijulang dengan kejayaan pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF.

Menurut penyerang kelab Indonesia, Pelita Jaya itu, mereka sudah memberikan yang terbaik pada perlawanan kelmarin dengan melancarkan serangan ke atas kubu Singapura tetapi hanya berjaya memperoleh satu gol.

"Kita gagal untuk menjaringkan gol selepas itu malah melepaskan gol kepada pihak lawan, barisan pertahanan sedikit leka. Untuk itu saya meminta maaf kepada penyokong kerana gagal membantu Malaysia mara ke pusingan seterusnya ," katanya selepas perlawanan kelmarin.

Jelasnya, Singapura adalah sebuah pasukan yang bagus dan dia bersama rakan-rakan yang lain sudah mencuba sedaya upaya untuk menjinakkan skuad bimbingan Radojko Avramovic namun gagal.

"Kami mencuba sebaik mungkin untuk kembali merapatkan defisit gol bagaimanapun mereka dapat bertahan dengan baik dan saya begitu kecewa kami gagal walaupun saya dapat menjaringkan tiga gol dalam kedua-dua perlawanan.

"Apa pun ini adalah pasukan muda, perjalanan mereka masih jauh lagi, saya harap mereka dapat bangkit semula pada perlawanan atau kejohanan seterusnya selepas ini," kata Safee.

Safee bertindak sebagai ketua pasukan kelmarin, menggantikan Safiq Rahim yang digantung perlawanan akibat menerima kad merah pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura yang menyaksikan Malaysia tewas 3-5.

Kelmarin, di Stadium Nasional Bukit Jalil skuad Harimau Malaya sekadar mencatat keputusan seri 1-1 , menjadikan agregat 4-6 seterusnya gagal untuk ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia walaupun mendapat sokongan 90,000 penyokong.

Bagaimanapun Safee mengakui tahap keyakinannya semakin meninggi selepas menimba ilmu dalam Liga Super Indonesia bersama pasukan Pelita Jaya dan segala pengalaman tersebut digunakan sebaiknya ketika beraksi dengan skuad kebangsaan.

"Saya akan berlatih bersungguh-sungguh untuk terus meningkatkan permainan saya. Saya tidak boleh berpuas hati setakat ini sahaja, banyak perkara lagi yang perlu saya pelajari," kata pemain berusia 27 tahun itu.

Safee memberikan sedikit harapan kepada penyokong Malaysia apabila menjaringkan gol pada minit ke-57 kelmarin.

Namun 13 minit kemudian Shi Jiayi berjaya menyamakan kedudukan seterusnya menutup peluang Malaysia.


SUMBER
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5ecVtUNDD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Harimau berputih mata

ARKIB : 29/07/2011
Oleh FERZALFIE FAUZI, TAN MING WAI dan DAYNE AZMIN
sukan@utusan.com.my
 
Gol tunggal Malaysia jaringan Mohd. Safee Sali (kiri) belum cukup melemahkan kesebelasan Singapura yang akhirnya memusnahkan harapan skuad negara apabila menjaringkan gol penyamaan menerusi Shi Jiayi, malam tadi. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
KUALA LUMPUR - Malaysia terpaksa menunggu empat tahun lagi untuk beraksi semula di peringkat kelayakan Piala Dunia apabila ditunjukkan jalan keluar oleh Singapura pada perlawanan timbal balik pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, semalam

Stadium Nasional Bukit Jalil dan 90,000 penyokong Harimau Malaya menjadi saksi detik kejatuhan Harimau Malaya apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 untuk membawa kepada kekalahan agregat 6-4.

Jaringan Safee Sali pada minit ke-57 tidak mampu untuk meningkatkan semangat rakan-rakannya yang lain apabila Singapura berjaya menjaringkan gol penyamaan 13 minit kemudian melalui Shi Jiayi.

Aksi sederhana pada separuh masa pertama boleh menjadi punca utama skuad negara gagal untuk menyaingi Singapura, di tambah dengan ketiadaan pemain perancang dan ketua pasukan, Safiq Rahim.

Safiq digantung perlawanan apabila menerima kad merah pada perlawanan pertama di Stadium Jalan Besar yang menyaksikan Malaysia tewas 3-5.

Anak buah Datuk K. Rajagobal ternyata kurang selesa dengan kelebihan yang ada pada pemain Singapura iaitu kekuatan fizikal dan hantaran jauh.

Rajagobal mengakui, pasukannya tidak bermain agresif pada babak pertama, malah mengakui kealpaan benteng sekali lagi menghukum mereka ketika membenarkan Singapura merobek gawang pada separuh masa kedua.

"Kami tidak kalah, kami seri malam ini tetapi kami gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Kami tidak bermula agresif walaupun ada masanya kita membuat serangan, cuma di separuh masa kedua pemain mula menunjukkan permainan lebih baik tetapi ia tidak mencukupi.

"Saya rasa, apabila Aidil (Zafuan Abd. Radzak) terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan, ia menganggu perancangan pasukan. Dia keluar terlalu awal dan memaksa kami memasukkan Muslim,'' kata Rajagobal.

Hasrat untuk melihat pemain pertahanan berpengalaman, Aidil beraksi selama 90 minit tidak tercapai apabila dia dikeluarkan pada minit ke-27 dan digantikan dengan Muslim Ahmad apabila mengalami kecederaan.

Harapan menggunung penyokong Harimau Malaya untuk melihat Malaysia bangkit pada separuh masa kedua gagal dijelmakan manakala Singapura ampuh bertahan hasil permainan mantap pemain pertahanan Daniel Bennett.

Pemain tengah, Ismail Faruqi seperti kekeringan idea untuk merencanakan serangan bahaya tatkala Singapura mengharapkan kehebatan pemain kelahiran China, Jiayi dan Qiu Li.

Gandingan Safee dan Abd. Hadi Yahya juga tidak begitu menjadi apabila tidak mempunyai keserasian yang mantap tatkala S. Kunanlan gagal mempamerkan permainan lincah seperti dalam perlawanan sebelum ini.

Ibarat jatuh sudah ditimpa tangga aksi penutup perlawanan Malaysia Singapura dicemari dengan layangan kad merah kepada pemain gantian negara, Ahmad Fakri Saarani pada masa kecederaan.

Bagaimanapun, pujian layak diberikan kepada penjaga gol skuad Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che Mat yang beberapa kali menyelamatkan percubaan merbahaya pihak lawan.

Apa-pun kita perlu menerima hakikat bahawa masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki jika berhasrat untuk beraksi pada peringkat yang lebih jauh pada kelayakan Piala Dunia 2018.

Sementara itu, penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat berkata, Singapura berhak melayakkan diri ke pusingan seterusnya kerana menunjukkan permainan yang lebih baik. "Kita tidak kalah malam ini, cuma kita seri. Singapura lebih layak dan berhak ke pusingan seterusnya,'' kata Khairul Fahmi.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0729&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5ecSSiBzq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Safee, Aidil sanggup pikul tugas kapten


ARKIB : 28/07/2011
 
Pemain-pemain Malaysia ceria menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam menjelang pertemuan menentang Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 malam ini . - utusan/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR - Tatkala pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal masih berteka-teki siapakah bakal memakai lilitan lengan kapten pada perlawanan getir menentang Singapura hari ini, dua calonnya, Mohd. Safee Sali dan Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak menyatakan kesediaan untuk menggalas tugas berat itu.

Salah seorang mereka yang disenarai pendek Rajagobal mengisi kekosongan besar yang ditinggalkan ketua pasukan, Safiq Rahim selepas dia dilayangkan kad merah pada perlawanan pertama di Singapura tempoh hari.

Rajagobal bagaimanapun masih mahu merahsiakan sehinggalah pada sesi taklimat pagi ini.

Penyerang berbisa, Mohd. Safee berkata, dia sudah bersedia memimpin skuad sekiranya diberi mandat oleh jurulatih dan baginya, ia bukan satu pengalaman baru.

"Ia bukan satu beban kerana saya pernah menjadi kapten skuad Bawah-23 beberapa tahun lalu. Jika saya dipilih, saya akan buat yang terbaik dan cuba membimbing rakan-rakan sepasukan dengan pengalaman yang ada," katanya yang merupakan pemain paling senior dalam skuad itu.

Sementara itu, Aidil Zafuan bersedia menerima apa jua keputusan Rajagobal hari ini tetapi baginya, soal siapa menjadi kapten tidaklah begitu penting.

"Tugas kapten memang tanggungjawab berat tetapi jika saya dipilih akan saya cuba pikulnya sebaik mungkin. Apa yang lebih penting ialah kami dengan berbekalkan semangat berpasukan tinggi mencapai kejayaan esok (hari ini)," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0728&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5ecQ7i8sc
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jangan lalai jika dapat gol awal


ARKIB : 27/07/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Penyerang kebangsaan, Safee Sali (kanan) berbual dengan penyerang SIngapura, Aleksandar Duric ketika kedua-dua pemain bertemu di Kuala Lumpur, semalam.

PETALING JAYA – Bos Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal menuntut pemain mengekalkan fokus jika mendahului pasukan lawan, apabila bertemu Singapura pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia, esok.

Menurutnya, sindrom gagal mengekalkan rentak selepas mendahului lawan harus dielakkan jika mahu meneruskan kemaraan.

“Para pemain harus berada pada tahap tumpuan yang tinggi sepanjang 90 minit perlawanan, malah lebih daripada itu walaupun kita mendahului lawan.

“Pemain tidak boleh terlalu leka dan jangan biarkan fokus hilang jika berhasrat mahu membenam Singapura nanti,” katanya selepas mengiringi Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek melawat sesi latihan skuad negara di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Alpa selepas mendahului lawan terserlah ketika Malaysia menentang Taiwan di Taipei, di mana selepas Malaysia mendahului 1-0 hasil jaringan Aidil Zafuan Abdil Razak, pemain bergelut mengawal rentak perlawanan walaupun mendahului dua kali sebelum akhirnya tewas 2-3.

Pada aksi di Singapura Sabtu lalu, gol pembukaan Safee Sali selepas 25 saat perlawanan, tidak banyak membantu Harimau Malaya apabila kecundang 3-5.

Tambah Rajagobal, setelah mengkaji kelemahan pada pertemuan pertama, beliau percaya pemain sudah bersedia untuk menebus segala kesilapan.

“Kita masih ada 90 minit lagi, ini sikap positif yang kita harus ada jika mahu melayakkan diri ke peringkat seterusnya,” katanya.



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5ecO5qb8s
© Utusan Melayu (M) Bhd


Tak sabar membaham

ARKIB : 23/07/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Safee Sali, Safiq Rahim serta rakan sepasukan gigih berlatih di padang tiruan Stadium Jalan Besar, Singapura, semalam sebagai persiapan menentang Singapura pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, malam ini. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
SINGAPURA - Jurulatih Taiwan, Lee Tae-Ho, baru-baru ini menyatakan Singapura yang menewaskan mereka 3-2 pada 20 Julai lalu ternyata lebih baik berbanding Malaysia.

Seolah-olah merendahkan kemampuan Malaysia yang menyingkirkan mereka di pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014, jurulatih itu mendakwa, Singapura mempunyai pemain yang matang dan beraksi lebih tersusun berbanding Malaysia.

Pandangan itulah yang menjadi perhatian media Singapura yang diajukan kepada jurulatih Malaysia, Datuk K. Rajagobal pada sidang akhbar semalam.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 55 tahun itu tidak cepat melatah, sebaliknya optimis terhadap kemampuan pemainnya sendiri.

''Semua orang boleh menyatakan pendapat mereka masing-masing. Itu terpulang pada mereka.

''Kita mungkin boleh mendapat 80,000 pendapat berbeza daripada 80,000 orang yang datang menonton sesuatu perlawanan. Saya tidak ambil kisah dengan pendapat jurulatih Taiwan kerana saya hanya mahu memberikan fokus kepada pasukan saya sahaja.

''Sebagai jurulatih, saya lebih tahu kemampuan pemain saya sendiri," katanya pada sidang media di Hotel Amara, semalam menjelang perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Singapura, hari ini.

Bercakap mengenai Singapura, beliau berkata, cara permainan Singapura sedikit mirip skuad negara berdasarkan apa yang beliau perhatikan daripada rakaman video dua aksi persahabatan terakhir.

''Apa yang saya dapat nilai, kekuatan dan kelemahan kami tidak banyak berbeza antara satu sama lain, jadi saya sama sekali tidak akan mengambil mudah. Apa yang saya harapkan, pada perlawanan esok (hari ini), pasukan kami dapat menampilkan rentak menarik untuk mencapai kemenangan," ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5ea2NqNzn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tewas 3-5 kepada Singapura: Tugas sukar menanti di Bkt Jalil

ARKIB : 23/07/2011
23/07/2011 9:39pm

KUALA LUMPUR 23 Julai – Malaysia tewas 3-5 kepada Singapura pada perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Jalan Besar, malam ini.

Malaysia membuka jaringan menerusi Safee Sali seawal minit pertama permainan sebelum Singapura merobek gawang sebanyak empat kali untuk kedudukan 4-1 pada babak pertama.

Ketinggalan 1-4 tidak melemahkan anak-anak buah jurulatih Datuk K. Rajagobal yang kemudiannya bangkit untuk gol kedua daripada Abdul Hadi Yahya sebelum Safee sekali lagi meledak jaringan ketiga untuk kedudukan 3-4.

Kedudukan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila tuan rumah mengambil kesempatan daripada kealpaan pertahanan untuk menokok gol kelima untuk 5-3 sehingga tamat perlawanan.

Pada perlawanan hari ini, Malaysia turut kehilangan kapten pasukan, Safiq Rahim yang dilayangkan kad merah, manakala tuan rumah juga kehilangan seorang pemain pertahanan. – Utusan
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_35.htm#ixzz5eZxF0OFH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Singapura bukan lagi masalah

ARKIB : 18/07/2011
Oleh Norzie Mohd. Khasbi dan Zazali Jamian
sukan@utusan.com.my
 
Mohd. Safee Mohd Sali cuba melepasi asakan pemain Liverpool, Dirk Kuyt pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, kelmarin. Liverpool menang 6-3.
 KUALA LUMPUR - Perlawanan menentang tiga gergasi Liga Perdana Inggeris memberi persiapan berkualiti buat pemain Malaysia menjelang dua saingan penting - kelayakan Piala Dunia 2014 dan Sukan Olimpik 2012, bukan sekadar pertunjukan hiburan yang tidak memberi manfaat, tegas bintang penyerang kebangsaan, Safee Sali.

Safee menegaskan, dua perlawanan yang sudah ditempoh Malaysia, menentang Arsenal, Rabu lalu dan Liverpool kelmarin berjaya mendedahkan kepincangan serta kelemahan skuad negara, sekali gus membantu jurulatih, Datuk K. Rajagobal mencari pendekatan taktikal yang sesuai sebelum bertandang ke Singapura untuk pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Sabtu ini.

Bagi pemain pula, peluang berdepan barisan antarabangsa Reds telah menyuntik keyakinan tambahan buat mereka, apatah lagi Singapura memiliki ramai pemain yang berasal dari luar negara, justeru berdepan pemain asing tidak lagi menjadi satu kejutan buat mereka.

Safee, 27, yang meledakkan dua gol ketika Malaysia tewas 3-6 kepada Liverpool menyangkal keras dakwaan segelintir pihak yang menganggap tiga aksi persahabatan menentang kelab England hanya pembaziran dan tidak memberi sebarang manfaat kepada skuad kebangsaan.

Satu lagi perlawanan persahabatan yang akan berlangsung adalah melibatkan Chelsea menentang skuad Harimau Muda (Olimpik), Khamis ini.

"Tiga perlawanan ini memberi banyak manfaat, baik kepada skuad Harimau Malaya mahupun Harimau Muda. Saya sendiri terlibat secara langsung di atas padang, jadi saya tahu bagaimanakah pengalaman, pendedahan serta kepentingan yang dibawa oleh pemain-pemain antarabangsa kepada pemain kita.

"Buat pemain, kami banyak belajar mengenai skil dan teknik yang dimiliki oleh pemain bertaraf antarabangsa, sekali gus menggunakannya untuk memperbaiki permainan sendiri.

"Bagi mereka yang menganggap perlawanan ini tiada manfaat, itu tidak betul. Mereka melihatnya sebagai orang luar yang tidak terlibat secara langsung dengan perlawanan, jadi mereka tidak nampak atau memahami apa yang kami perlukan sebagai pemain atau jurulatih,'' kata Safee ketika dihubungi semalam.

Mengulas mengenai dua jaringan yang berjaya diledak ketika menentang Liverpool kelmarin, kata Safee, prestasinya kini sudah kembali ke tahap terbaik, malah keyakinannya semakin meningkat selepas perlawanan menentang Liverpool.

Dia amat berharap momentum itu diteruskan, Sabtu ini kerana kejayaan menjaringkan gol di tempat lawan mampu memberi kelebihan besar buat Malaysia sebelum kembali ke Kuala Lumpur, 28 Julai ini.

"Prestasi dan keyakinan saya selepas perlawanan dengan Liverpool sangat baik, harap saya berpeluang untuk menjaringkan gol ke atas Singapura kerana hanya jaringan tempat lawan dapat memberi kelebihan kepada kita apabila kembali ke Kuala Lumpur nanti.

"Memang Singapura memiliki ramai pemain import, namun selepas dua pengalaman berguna yang diperoleh Malaysia ketika menentang Liverpool dan Arsenal, saya tidak nampak itu akan menjadi satu masalah yang besar buat pemain. Apa pun, kami akan melakukan analisis mengenai permainan Singapura sebelum berlepas ke sana,'' katanya lagi.

Sementara itu, Safee turut terpanggil untuk mengulas mengenai rasa kurang senang sebahagian penyokong kebangsaan dengan kenyataannya bahawa semangat Manchester United menjadi faktor dia beraksi cemerlang ketika berdepan Liverpool, sekali gus meletakkan dirinya dalam situasi bahawa dia bermain demi kelab Inggeris itu.

"Saya hanya bergurau ketika saya cakap bahawa Manchester United adalah inspirasi saya, ia tidak membawa sebarang maksud yang serius. Sudah tentu saya bermain demi maruah Malaysia dan saya bangga menyarung jersi Malaysia.. Saya akui, saya peminat setia United, tetapi saya tetap pemain Malaysia.

"Saya minta maaf kerana kenyataan saya ini menyinggung peminat Malaysia, saya tidak sangka gurauan saya dengan wartawan telah ditukar menjadi bahan berita,'' ujar Safee.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0718&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eZNiBL4K
© Utusan Melayu (M) Bhd