Sabtu, 21 Oktober 2017

Semangat juang julang Kedah

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED sukan@kosmo.com.my
KAPTEN Perak, Ahmad Shahrul Azhar (tengah) dihalang pemain Kedah, Victor Andrag (kanan) dan Shafizan Hashim pada aksi Liga Super di Stadium Perak kelmarin.

PENGURUS pasukan Kedah, Datuk Othman Aziz muncul individu paling gembira selepas menyaksikan anak buahnya mencipta kemenangan 5-2 ke atas Perak pada aksi Liga Super di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.

“Saya berbangga dengan persembahan mantap yang ditunjukkan barisan pemain Kedah sehingga berjaya menewaskan musuh tradisi, Perak walaupun beraksi di gelanggang lawan,” jelas Othman.

Othman berkata, semangat juang yang dipamerkan barisan mudanya pada perlawanan itu telah menunjukkan bahawa mereka adalah pemain yang hebat.

Menurutnya, walaupun terdapat beberapa insiden kekasaran pada perlawanan tersebut, namun pemainnya dapat menyerap tekanan daripada pemain tuan rumah.

“Pemain berjaya mengekalkan fokus mereka dan terus bangkit walaupun ketinggalan pada awal permainan,” kata Othman.

Tambahnya, kemenangan ini telah mematangkan lagi barisan pemain mudanya yang begitu ghairah memburu gol pada setiap perlawanan.

Gol-gol Kedah telah dijaringkan oleh Mohd. Khyril Muhymeen pada minit keenam, Badrul Bakhtiar (17), Marlon Alex James (59, 69) dan Hasmawi Hassan (85).

Manakala Perak pula memperoleh jaringan menerusi Mohd. Khalid Jamlus pada minit ketiga dan Mohd. Noor Hazrul (14).

“Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan tahniah dan ribuan terima kasih kepada pemain dan jurulatih kerana berjaya dalam perlawanan yang boleh dikatakan mencabar pada musim ini,” kata Othman.

Menurut Othman, beliau berharap pemainnya dapat mengekal rentak permainan pada perlawanan menentang Negeri Sembilan Naza di Stadium Darulaman, Alor Star malam esok.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=0114&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4w8KVwDMV
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan