Jumaat, 20 Oktober 2017

Norshahrul gandingan baru Safee Sali



ARKIB : 07/12/2007

KORAT – Ibarat sirih pulang ke gagang menjadi gambaran tepat Norshahrul Idlan Talaha atas kepercayaan jurulatih skuad Bawah 23 Tahun negara, B. Sathianathan kepadanya sebagai gandingan baru barisan depan dengan Safee Sali untuk menghadapi Singapura, esok.

Posisi asal yang ditinggalkannya apabila menyertai UPB-MyTeam dalam Liga Malaysia, kembali didukungnya apabila melayari cabaran negara memburu salah satu tempat ke separuh akhir bola sepak lelaki Sukan SEA Korat di Stadium Universiti Teknologi Suranaree.

“Ini posisi yang agak lama saya tinggalkan ketika bersama Negeri Sembilan beberapa musim lalu kerana kerap dipanggil mewakili skuad belia negara sejak Kelayakan Olimpik lagi malah sempat ke Sukan Asia Doha tahun lalu.

“Dalam kebanyakan perlawanan antarabangsa, saya kerap bertindak selaku pemain tengah mahupun penyokong serangan,” kata anak muda berusia 21 tahun setinggi 1.70 meter ini selepas menjalani latihan di Padang Pangkalan Tentera Udara Thailand, semalam.

Tempat Norshahrul diuji dalam dua sesi latihan sejak kelmarin selepas Malaysia kehilangan khidmat gandingan utama Safee, Zaquan Adha Radzak yang mengumpul dua kad kuning menentang Vietnam dan Laos di gelanggang yang sama pada Sabtu dan Isnin lalu.

Namun anak jati Besut, Terengganu ini masih perlu bersaing untuk memastikan tempatnya tidak disambar oleh penyerang simpanan, Samransak Kram mahupun Safiq Rahim yang boleh bertindak sebagai penyokong serangan atau perancang dari tengah.

Dalam temasya dwitahunan ke-24 ini, dia hanya diturunkan pada babak kedua menentang Vietnam untuk menggantikan Safiq tetapi kemampuannya lebih menonjol sebaik sahaja masuk mengambil alih tempat ketua pasukan, Azi Shahril Azmi yang tercedera paha pada minit keempat menentang Laos.

Norshahrul sempat menjaringkan satu gol ke atas Lesotho dalam perlawanan peringkat kumpulan Pestabola Merdeka ketika Malaysia menang 4-0 di Shah Alam tetapi dari posisi tengah dan sejak itu dia masih berkemarau gol di pentas antarabangsa.

Pengalamannya dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia menentang Bahrain di Shah Alam pada 28 Oktober lalu mungkin mampu dimanfaatkan sekali gus membantu Malaysia melepasi Singapura sebagaimana mereka menang 3-1 dalam Pestabola.

Langkahnya mungkin agak mudah memandangkan pendahulu Kumpulan B ini kehilangan khidmat pemain tengah bertahan, Isa Halim yang dilayangkan kad merah dalam baki setengah jam perlawanan ketika mereka menewaskan Vietnam 3-2, Isnin lalu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz4w30p28sT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan