Jumaat, 20 Oktober 2017

Anak sulung suntik semangat Safee Sali



ARKIB : 25/12/2007
Anak sulung suntik semangat Safee Sali
Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD
Safee Sali.

SHAH ALAM – Rezeki kelahiran anak sulung, Nur Syaza Syaqina ternyata menyuntik kekuatan luar biasa penyerang, Safee Sali untuk menjaringkan gol kemenangan Selangor dalam menewaskan Pulau Pinang 2-1 pada perlawanan bola sepak Liga Super, kelmarin.

Bayangkan tidak sampai pun seminit dia masuk menggantikan Indra Putra Mahayuddin, Stadium Shah Alam sudah kembali bergema dengan sorakan ceria 5,000 penyokong Merah Kuning apabila rembatan kaki kirinya membolosi gawang kawalan Faizal Yusuf.

‘‘Gol ini saya tujukan kepada cahaya mata sulung saya yang lahir pada 17 Disember lalu di Sarawak (hasil perkongsian hidup dengan Sabarina Yusof).

‘‘ Ia seperti suntikan semangat baru,’’ kata penyerang utama skuad negara berusia 23 tahun ini.

Menurut Safee, gol sulungnya yang turut membawa Selangor menerajui liga selepas empat perlawanan bakal menjadi perangsang untuk merebut semula tempat dalam kesebelasan utama pasukan biarpun kini dibanjiri lebih ramai penjaring gol dan penyerang.

‘‘Gol ini bagaimanapun tetap diperoleh hasil kerjasama sepasukan,’’ katanya yang bermain kali kedua untuk Selangor musim ini tetapi dalam tempoh lebih lama, 27 minit berbanding 20 minit ketika menentang bekas pasukannya, Sarawak (18 Disember lalu).

Safee yang baru kembali daripada skuad Malaysia ke Sukan SEA Korat, menganggap satu cabaran yang sihat apabila melihatkan Selangor memiliki banyak pilihan penyerang yang hebat seperti Akmal Rizal Rakhli, Indra, Frank Seator, Amri Yahyah dan R. Surendren.

‘‘Dari satu segi pula, ia tetap bagus kepada pasukan apabila sesiapa pun mampu menjaringkan gol untuk Selangor, namun yang penting semuanya boleh bekerjasama dan bersefahaman malah saya tiada masalah untuk bergandingan dengan sesiapa,’’ katanya.

Selangor mulanya tersentak dengan gol S. Thiagaran pada minit ke-53 tetapi mujurlah ketua pasukan, Fadzli Saari bangkit menyelamatkan maruah tuan rumah daripada dicalarkan Harimau Kumbang dengan rembatan gol penyamaan, seminit kemudian.

Aksi kelmarin bagaimanapun belum memuaskan hati jurulatih Selangor, Dollah Salleh terutamanya kegoyahan benteng pertahanan yang turut menyaksikan kemunculan sulung pemain import dari Zambia, Evan Chisulo sehingga dikejutkan dengan gol Pulau Pinang.

‘‘Memang benteng Selangor agak goyah dan kucar-kacir sekali gus perlu diperbetulkan selepas ini tetapi mungkin lawan tidak mengambil kesempatan ketika itu. Mujur keputusan menyebelahi kami selepas saya memasukkan Fazilidin Khalid dan Amirulhadi Zainal serta Safee.

‘‘Seator kurang tajam kali ini kerana bermain dalam keadaan demam sementara Chisulo masih tercari rentak permainan dan hasratnya untuk membuktikan kemampuan kepada penyokong dalam penampilan sulung ini menjejaskan sedikit prestasinya,’’ katanya.

Sementara itu, Dollah meramalkan seorang lagi pemain import iaitu sayap kanan lincah dari Indonesia, Elie Aiboy bakal menyertai Selangor dalam pertengahan atau akhir bulan depan sebaik sahaja menamatkan liga di sana.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1225&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4w3mx7yEY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan