Jumaat, 13 Oktober 2017

Jangan perkecil Laos – Sathia -- Pesta Bola Merdeka 2007



ARKIB : 20/08/2007

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

SHAH ALAM – Jurulatih skuad Bawah 23 Tahun Malaysia, B. Sathianathan mengingatkan anak- buahnya supaya tidak sesekali memperkecilkan kemampuan mana-mana lawan termasuk Laos yang akan menjadi lawan pertama negara pada Pesta Bola Merdeka ke-39 bermula hari ini.

Katanya, perlawanan pertama seperti menentang Laos dalam Kumpulan A di Stadium Petaling Jaya ini sentiasa sukar bagi sesiapa pun apatah lagi selepas skuad bola sepak negara dikecam hebat kerana dibelasah teruk dalam Piala Asia, bulan lalu.

‘‘Kami mengakui tekanan daripada peminat memang hebat terutama selepas keputusan pada Piala Asia lalu dan kami menganggapnya dan menghadapinya sebagai satu cabaran sambil tidak akan memperkecilkan mana-mana lawan dalam Pesta Bola termasuk Myanmar dan Lesotho.

‘‘Myanmar merupakan juara tahun lalu dan Lesotho khabarnya memiliki beberapa pemain yang berpengalaman Liga Afrika Selatan selain mencatat keputusan baik dalam Kelayakan Piala Negara-negara Afrika,” katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini, semalam.

Sathianathan turut mendedahkan permintaannya supaya pasukannya dibenarkan bermain sehari kemudian (esok) ditolak jawatankuasa penganjur memandangkan mereka baru kembali ke tanah air selepas siri persahabatan di Slovakia, kelmarin.

‘‘Pemain masih penat dan tiada rehat tetapi saya tidak mahu menjadikannya alasan apabila menentang Laos kerana saya yakin mereka masih mampu memberikan yang terbaik,” katanya merujuk keputusan dua kekalahan, satu seri dan menang sekali dengan empat kelab Slovakia itu.

Skuad Bawah 23 Tahun ini turut menyenaraikan tiga lagi pemain daripada skuad Piala Asia iaitu Shukor Adan yang dilantik sebagai ketua pasukan; Norhafiz Zamani Misbah dan V. Thirumurugan selain tiga yang dipanggil ketika ke Slovakia, Safee Sali, Nor Farhan Muhammad dan Aidil Zafuan Radzak.

‘‘Mereka dipanggil kerana kami kehilangan ramai tonggak pertahanan dan tengah seperti S. Subramaniam, Bunyamin Omar dan Safiq Rahim serta Sabre Mat Abu masing-masing akibat kecederaan ketika Piala Malaysia, Piala Juara-Juara Belia (CYC) dan masalah peribadi,” katanya.

Penolong pengurus pasukan Laos, Oudom Sengsirivanh berkata, mereka menyenaraikan tujuh atau lapan pemain senior ke kejohanan ini manakala selebihnya dibarisi ramai pemain skuad Bawah 20 Tahun pada Kejohanan AFF di Kota Ho Chi Minh, baru-baru ini.

‘‘Pesta Bola ialah sebahagian persediaan pasukan belia (bawah 23 tahun) kami ke Sukan SEA Korat (Disember ini) memandangkan ada beberapa pemain senior kami yang berpangkalan dan masih bermain dengan kelab di Hanoi, Vietnam,” katanya yang ditemani jurulatih, Khamsay Chanthavong.

Sementara itu, jawatankuasa penganjur bersetuju mengawalkan kesemua perlawanan kedua ke pukul 8.45 malam dari 9 malam seperti yang dijadualkan pada mulanya manakala perlawanan pertama kekal 6.30 petang atas permintaan wakil media massa.

Pengerusi jawatankuasa itu, Datuk Che Mat Jusoh berkata, dua pasukan bagi perlawanan kedua akan diarahkan membuat sesi pemanas badan sama ada dalam kawasan stadium atau luar padang kira-kira 25 minit sebelumnya seperti dikehendaki peraturan antarabangsa.

Harga tiket kesemua perlawanan peringkat kumpulan ialah RM15 untuk semua kawasan tempat duduk manakala RM20 bagi kedua- dua perlawanan separuh akhir dan perlawanan akhir.

SKUAD MALAYSIA

Syed Adney Syed Hussein, Nasril Nourdin, Nor Farhan Muhammad, Norshahrul Idlan Talaha, Khyril Muhymeen Zambri, Norhafiz Zamani Misbah, Daudsu Jamaluddin, Safee Sali, V. Thirumurugan, Shukor Adan, Azi Shahril Azmi, Samransak Kram, Aidil Zafuan Radzak, Syamsol Sabtu, Zaquan Adha Radzak, Amirulhadi Zainal, Sumardi Hajalan, Shahurein Abu Samah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vOprw2UM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan