Sabtu, 23 September 2017

Akmal Rizal dipanggil semula - Turut dipanggil Mohd. Safee atasi ketumpulan serangan skuad kebangsaan

ARKIB : 28/04/2007
 
AHMAD RIZAL AHMAD RAKHLI.

KUALA LUMPUR – Masalah ketumpulan jentera serangan skuad bola sepak kebangsaan bakal diatasi apabila dua penyerang Selangor, Akmal Rizal Rakhl dan Mohd. Safee Sali dipanggil semula menyertai pasukan itu yang akan mengadakan sesi latihan di Australia, bulan depan.

Kelibat dua tonggak Selangor yang kembali beraksi dalam Liga Malaysia mendapat perhatian daripada jurulatih kebangsaan, Norizan Bakar.

Aksi menyakinkan kedua-dua pemain itu yang sudah pulih daripada kecederaan kembali menyakinkan Norizan yang menyenaraikan nama mereka dalam skuad yang akan menjalani latihan di Australia sebagai persiapan rapi menghadapi pusingan akhir Piala Asia pada Julai ini.

‘‘Saya telah melihat mereka bermain selepas pulih daripada kecederaan dan lebih melegakan apabila mereka berjaya menjaringkan gol.

‘‘Kenapa tidak boleh memanggil mereka untuk memantapkan lagi jentera serangan skuad kebangsaan,’’ kata Norizan.

Kedua pemain tersebut bersama 23 lagi pemain akan melapor diri di Wisma FAM pada 6 Mei ini.

Sementara itu, Mohd. Safee ketika dihubungi berkata, dia merasa lega apabila dipanggil semula mewakili skuad kebangsaan.

‘‘Saya sendiri tidak sangka Norizan masih percaya dengan keupayaan saya walaupun baru pulih daripada kecederaan.

‘‘Ini khabar gembira buat saya kerana masih boleh mewakili skuad kebangsaan dan panggilan ini benar-benar mengejutkan,’’ kata pemain itu yang kali terakhir menyarung jersi kebangsaan dalam dua perlawanan persahabatan menentang Singapura, Mei tahun lalu.

Bekas penyerang Sarawak itu sebelum ini ditimpa kecederaan memaksanya berehat hampir tujuh bulan.

Mohd. Safee menambah, dia akan cuba memberikan persembahan terbaik sepanjang latihan di Australia.

‘‘Saya akan cuba membuktikan keupayaan sebenar dan terpulang kepada Norizan untuk menilainya,’’ ujarnya.

Buat jurulatih itu, kehadiran kedua-dua pemain yang pernah menyarung jersi kebangsaan diyakini dapat memantapkan kembali jentera serangan.

‘‘Melihat daripada aksi mereka, saya cukup yakin kehadiran mereka dapat menjanjikan sesuatu yang baik untuk skuad kebangsaan.

‘‘Apa pun keupayaan sebenar mereka akan saya uji dalam kunjungan ke Australia bulan depan,’’ ujar Norizan.

Namun begitu, Norizan yang dikenali cukup berpendirian tegas berkata, kehadiran kedua-dua pemain itu bukan jaminan mutlak mereka akan berada dalam skuad utama memikul cabaran negara di pusingan akhir Piala Asia nanti.

Beliau menegaskan, Akmal Rizal dan Mohd. Safee perlu menunjukkan keupayaan sebenar mereka jika ingin berada dalam skuad utama membawa cabaran Malaysia nanti.

Sewaktu berada di Australia nanti, skuad bola sepak kebangsaan akan mengadakan tiga perlawanan persahabatan skuad Olimpik Australia, Sydney FC dan Western Australia.

Dalam pusingan akhir Piala Asia Julai ini, Malaysia diletakkan bersama-sama China, Uzbekistan dan Iran.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0428&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tYT0nktE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan