Sabtu, 23 September 2017

Selangor ceria, TMFC hampa



ARKIB : 15/04/2007
 
MARLON Alex James ( dua dari kiri) menanduk bola sambil dihalang dua pemain Sarawak dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, Alor Star, malam tadi. – Gambar KAMAL BASIR.

KUALA LUMPUR – Selangor terus mengukuhkan kedudukan teratas Kumpulan A apabila mudah menewaskan pasukan berstatus kelab, Johor Pasir Gudang 3-1 pada perlawanan bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, semalam.

Mohd. Safee Sali menemui sentuhan jaringan pada minit ke-12 untuk memberikan gol pendahuluan skuad Merah Kuning sebelum P. Gunalan menjadikan kedudukan 2-0 lima minit sebelum rehat.

Mohd. Amri Yahyah menambah gol ketiga Selangor di minit 77 dan gol sagu hati pelawat dijaringkan oleh Tembo Masauso di minit 90.

Di Stadium MBPJ Kelana Jaya, jaringan hatrik Azlan Ismail memastikan Perlis mengukir kemenangan bermakna setelah mengalahkan Telekom Melaka (TMFC) 4-2.

TMFC mendahului 2-0 menerusi Mohd. Hardi Jaafar (m-6) dan Chaswe Nsofwa (m-20) tetapi jaringan hatrik Azlan Ismail di minit 52, 57 dan 83 serta jaringan Faizal Esahar (m-90) terus meleburkan impian tuan rumah untuk memungut tiga mata penuh.

Di Stadium Larkin skuad Kuala Lumpur meraih tiga mata penuh apabila menewaskan Johor FC 3-1.

Mohd. Ivan Yusoff skuad warga kota di depan menerusi jaringan pada minit ke-25 tetapi Walter Silva menyamakan kedudukan 1-1 buat Johor FC di minit 55.

Firdaus Abdul Hamid meletakkan K. Lumpur kembali di depan pada minit ke-67 dan gol ketiga menyusul buat Kevin Lamey di minit 81.

Saingan Kumpulan B menyaksikan Negeri Sembilan memahatkan kemenangan paling selesa apabila menewaskan Terengganu 4-1 di Stadium Paroi.

Tuan rumah nyata garang membuka jaringan menerusi Liew Kit Kong di minit 13 sebelum Frederico de Castro menjadikan kedudukan 2-0 enam minit selepas itu giliran Anuar Jusoh mengukuhkan kedudukan pada minit ke-43.

Terengganu merapatkan jurang menerusi jaringan Che Hishamuddin Hassan tetapi Frederico menjadikan kedudukan 4-1 di minit ke-77.

Di Stadium Hang Jebat, Melaka sekadar terikat dengan keputusan seri 2-2 berdepan Kelantan.

Dalam Kumpulan C, Kedah terus mengekalkan rekod tanpa kalah apabila seri 2-2 dengan Sarawak.

Keputusan itu masih melihat Kedah masih berada di tangga teratas kumpulan dengan 12 mata.

Dua kali ketinggalan namun semangat kental Kedah nyata ampuh untuk bangkit mengikat kedudukan 2-2.

Gol-gol Kedah dijaringkan oleh Fazliata Taib (m-27) dan Syafizan Hashim (m-66) manakala gol Sarawak dijaringkan oleh Romeo Kambou (m-7) dan Robert Eishun (m-79).

Di Stadium Perak, skuad Seladang sekadar mengutip satu mata apabila seri 1-1 berdepan Sabah.

Membuka jaringan menerusi Keita Mandjou di minit terakhir babak pertama hendak ditamatkan tetapi jaringan Charles Obi menyamakan kedudukan 1-1 di minit 68 menutup peluang Perak untuk meraih tiga mata penuh.

Di Stadium Nasional Bukit Jalil, Pahang tidak menghadapi masalah apabila menewaskan Polis 2-1.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4tWT90zx1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan