Jumaat, 22 September 2017

Mohd. Safee ceriakan Selangor



ARKIB : 21/03/2007
 KUALA LUMPUR – Kehadiran semula penyerang kebangsaan, Mohd. Safee Sali dalam kesebelasan utama Selangor buat pertama kali musim ini dan dijangka beraksi bulan depan, bakal menyuntik kemantapan skuad Merah Kuning yang ketika ini terumbang-ambing.

Tiada kesangsian bekas penyerang Sarawak itu dapat diturunkan buat pertama kali bulan depan selepas kecederaan yang dialami sudah pulih dan dia kini telah mula menjalani latihan untuk mencapai tahap kecergasan 100 peratus.

Buat Selangor, kelibat Mohd. Safee memberi petanda skuad Merah Kuning akan bangkit selepas mengharungi kempen Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA dalam situasi hambar.

Bagi jurulatih Selangor, Dollah Salleh tiada ungkapan yang mampu diluahkan apabila mendapat perkhabaran paling menggembirakan mengenai Mohd. Safee.

‘‘Kehadiran Mohd. Safee buat pertama kali musim ini yang akan digandingkan dengan Akmal Rizal akan dapat menyelesaikan masalah ketumpulan jentera serangan Selangor,’’ ujarnya di sini, semalam.

Beliau menambah, seorang pakar kecergasan telah dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang kini giat membantu bekas penyerang Sarawak itu.

Menurut Dollah, tahap kecergasan Akmal Rizal kini sudah mencapai 90 peratus dan aksinya ketika menentang TMFC adalah titik-tolak kehadiran semula pemain itu untuk membantu memulihkan semula kedudukan Selangor.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_08.htm#ixzz4tPdSfhwE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan