Isnin, 16 Oktober 2017

Malaysia menang dalam aksi terakhir



ARKIB : 11/10/2007

KUALA LUMPUR – Kemahiran individu, keyakinan tinggi dan kawalan kemas mengiringi skuad bola sepak negara ketika mengakhiri siri perlawanan persahabatan di Perth dengan menewaskan juara Liga Australia Barat, Floreat Athena 2-1, kelmarin.

Skuad bimbingan B. Sathianathan ini beroleh gol sulung pada minit ke-21 menerusi rembatan kencang penyerang utamanya, Safee Sali sejauh 25 meter selepas menggelecek dua pemain pertahanan lawan.

Gol tersebut saling tak tumpah dengan jaringan Safee ketika menentang New Zealand dalam perlawanan persahabatan di Albany, Auckland pada 23 Februari 2006 biarpun Malaysia kalah 2-1.

Sayap muda lincah Kedah, Khyril Muhymeen Zambri pula melengkapkan jaringan kemenangan Malaysia dengan satu sungkitan tepat yang melepasi jangkauan penjaga gol selepas satu larian deras dari tengah padang.

Lawan hanya mampu membalas untuk merapatkan gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-72.

“Pasukan kita bermain dengan keyakinan dan menguasai setiap inci padang dengan pergerakan rapi,” katanya mengenai perlawanan persediaan menghadapi pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2010 dengan Bahrain pada 21 dan 28 Oktober ini.

“Gandingan dan persefahaman pemain kita semakin mantap apabila menghadapi lawan yang mempunyai kelebihan fizikal dan tidak kalah sepanjang musim liga mereka lalu,” katanya.

Sayap kiri senior, Indra Putra Mahayuddin yang direhatkan dalam tiga perlawanan sebelumnya, mendapat peluang bermain selama 30 minit menentang Athena biarpun kurang cergas.

Tiga perlawanan sejak 2 Oktober lalu menyaksikan Malaysia kalah kepada Perth Soccer 3-1, seri 0-0 dengan Ashfield dan menewaskan Perth Soccer 1-0. Dua lagi gol ketika itu dijaringkan Zaquan Adha Radzak dan Safee.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=1011&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vjPWjDiP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan