Jumaat, 13 Oktober 2017

Malaysia benam Laos -- Pesta Bola Merdeka

ARKIB : 21/08/2007
Oleh AMRAN MULUP
Tonggak Malaysia, Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak (dua dari kiri) diasak oleh dua pemain Laos dalam Pesta Bola Merdeka di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, malam tadi.

PETALING JAYA – Faktor keletihan selepas dua minggu menjalani latihan di Slovakia tidak menghalang skuad bawah 23 negara mengutip kemenangan pertama apabila menewaskan pasukan lemah, Laos 2-0 dalam perlawanan Kumpulan A Kejohanan Pestabola Merdeka Ke-39 di Stadium Petaling Jaya, semalam.

Kemenangan mudah yang sememangnya sudah dijangkakan buat skuad kebangsaan yang dalam persiapan menghadapi Sukan SEA di Korat, Thailand Disember nanti diperoleh menerusi gol jaringan Safee Sali pada minit ke-31 dan pemain senior, Mohd. Shukor Adan pada minit ke-53.

Di hadapan kira-kira 1,000 penonton, kemenangan 2-0 itu dianggap permulaan yang baik buat skuad bimbingan B. Sathianathan bagi menghadapi ujian sebenar – menentang penyandang juara, Myanmar esok.

Myanmar pula membuka tirai kempen pertama dalam perlawanan pertama menewaskan wakil dari Afrika, Lesotho 1-0.

Perlawanan dengan Laos belum benar-benar menguji kewibawaan sebenar skuad kebangsaan memandangkan lawan malam tadi bukanlah tandingan sebenar di pentas bola sepak Asia Tenggara begitu juga di Sukan SEA nanti.

Barisan pemain negara menguasai pentas saingan berbanding Laos yang tampak kurang memberi ancaman.

Skuad negara yang mempertaruhkan tiga pemain senior Norhafiz Zamani Misbah, Muhd. Shukor dan V.Thirumurugan, skuad negara menguasai permainan sejak awal.

Seawal minit keenam anak didik Sathianathan menunjukkan belang apabila ketua pasukan Selangor, Muhd. Shukor hampir-hampir mencipta gol awal tetapi sepakan lambungnya ditepis keluar penjaga gol Laos, Phoutpasong Sengdalavong.

Skuad kebangsaan terus memberi tekanan ke atas Laos yang membariskan ramai pemain muda dengan giliran Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak melakukan rembatan tetapi melewati palang gol.

Seminit selepas itu Muhd. Shukor melakukan sepakan lemah ke sebelah kiri walaupun berada di depan pintu gol lawan.

Gol awal yang dicari oleh skuad kebangsaan hadir pada minit ke-31 bermula daripada rembatan kencang Mohd. Khyril Muhymeen Zambri ditolak keluar oleh penjaga gol Laos.

Bola muntah itu pantas disambar oleh Safee yang mudah menolak masuk dalam keadaan pintu gol Laos tidak dijaga.

Malaysia mengukuhkan kedudukan apabila Muhd. Shukor mudah menanduk masuk daripada sepakan bebas Amirul Hadi Zainal pada minit ke-53.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4vOudkO8L
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan