Ahad, 15 Oktober 2017

Kedah minat Safee



ARKIB : 19/09/2007

Oleh SHARIZA ABDULLAH

ALOR STAR – Pasukan yang merangkul kejuaraan hatrik, Kedah dikatakan berminat untuk memikat penyerang kebangsaan, Safee Sali dan pemain pertahanan Pulau Pinang, Mat Saiful Mohamad sebagai usaha memperkuatkan skuad itu menjelang saingan baru musim depan.

Bagaimanapun ketua jurulatihnya, Mohd. Azraai Khor Abdullah membayangkan hasrat untuk memikat Safee mungkin tidak kesampaian kerana pasukan itu tidak mahu berbelanja besar bagi mendapatkan pemain baru.

Menurut Mohd. Azraai, Kedah perlu mengeluarkan peruntukkan besar jika ingin membawa Safee yang merupakan penjaring terbanyak Malaysia dalam Pestabola Merdeka ke-39 pada hujung bulan lalu dari Selangor ke kem Hijau Kuning.

‘‘Saya memang berminat dengan beberapa pemain yang beraksi dalam Pestabola terutamanya dengan Safee. Namun Kedah seperti mana yang dilakukan pada musim lepas, tidak mahu berbelanja besar semata-mata untuk mendapatkan pemain baru pada musim akan datang.

‘‘Oleh itu, mungkin kami tidak mampu membawa pemain itu ke sini meskipun kami amat berminat dengan corak permainannya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Mohd. Azraai menambah, Kedah tetap akan berusaha membawa pemain baru terutama bagi menguatkan barisan pertahanan selain menampung ketiadaan beberapa tonggak yang dijangka membarisi skuad negara dalam beberapa kejohanan musim depan.

Salah seorang pemain yang menjadi perhatian jurulatih yang memenangi anugerah jurulatih pilihan pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus minggu lalu itu ialah bek kiri pasukan Pulau Pinang, Mat Saiful yang turut menjadi calon pertahanan pilihan bagi anugerah berkenaan.

Dia berkata, corak pemainan Mat Saiful yang juga boleh beraksi di posisi bek tengah dilihat mampu menguatkan benteng Kedah sekali gus menambah pilihan pemain di bahagian berkenaan.

Menurutnya, dia memang berhasrat untuk mencari sekurang-kurangnya seorang pemain pertahanan berwibawa bagi membantu meringankan beban Victor Andrag dan Cornelius Bernard Hugging yang terpaksa bermain hampir keseluruhan perlawanan sepanjang musim ini. “Kami akan mengadakan mesyuarat petang ini (semalam) bagi membincangkan mengenai kontrak pemain dan memperhalusi pemilihan pemain-pemain baru.

‘‘Sekiranya dipersetujui oleh semua pihak, kami akan memanggil pemain-pemain yang berminat dan disenarai pendek untuk menjalani sesi pemilihan,” katanya.

Kedah yang masih segar dengan kejayaan merangkul tiga kejuaraan semusim baru-baru ini mengumumkan akan melanjutkan kontrak tiga pemain importnya selain berkemungkinan mengenepikan tujuh pemain simpanan bagi memberi laluan kepada belia tempatan berpotensi untuk menggantikan kekosongan itu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0919&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4vdeYJd42
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan