Khamis, 19 Oktober 2017

Safee sedia jadi jawapan Vingada



Devinder Singh
devinder@nst.com.my
 
Kuala Lumpur: Safee Sali (gambar) menegaskan, dia belum bersedia bersara daripada mewakili negara dan mahu membantu skuad kebangsaan mengatasi masalah kekurangan jentera penyerang.

Selepas jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada mengadu tidak memiliki penyerang yang cukup sebelum kekalahan 0-2 kepada Hong Kong pada aksi kelayakan Piala Asia 10 Oktober lalu, penyerang PKNS itu berkata, dia berhasrat kembali bermain bersama skuad kebangsaan.

Kali terakhir Safee beraksi bersama skuad kebangsaan ialah ketika Malaysia seri 0-0 menentang Filipina. Mac lalu. Ia adalah penampilan ke-79 dirinya bersama Harimau Malaya dan perlawanan terakhir skuad negara dibimbing Datuk Ong Kim Swee.

Vingada tidak menyenaraikan Safee dalam lima perlawanan yang berakhir tanpa kemenangan sejak pelantikannya Mei lalu, menyenaraikan pasukan tanpa penyerang ketika menentang Hong Kong susulan kecederaan Ahmad Hazwan Bakri, Shahrel Fikri Fauzi dan Darren Lok.

“Saya tidak terasa apabila tidak dipanggil dalam skuad kebangsaan kerana saya baru saja pulih daripada kecederaan. Jadi saya tidak mengharapkan dapat kembali ke skuad kebangsaan lagi buat masa ini,” kata Safee, 33.

“Memang benar skuad negara kekurangan penyerang dengan kebanyakan mereka yang beraksi dalam Liga Malaysia adalah pemain import. Tetapi, saya masih belum menutup pintu daripada mewakili skuad kebangsaan. Jika saya dipanggil semula, saya akan cuba lakukan yang terbaik.”

Malaysia bakal menentang Korea Utara dua kali pada bulan depan dalam kempen kelayakan Kumpulan B Piala Asia 2019 dan Safee berharap namanya disenaraikan semula bagi menambah koleksi 23 jaringan yang sudah disumbang ketika perlawanan antarabangsa.

“Saya bersedia dipanggil semula dan saya harap dapat bermain dengan baik serta segera mencari keserasian bersama pemain lain,” kata Safee yang membuat penampilan sulung antarabangsa pada 2005 dengan lima gol disumbang ketika negara memenangi Piala AFF 2010.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Oktober 2017 @ 6:24 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan