Jumaat, 17 November 2017

Safee sedia gempur Piala FA



ARKIB : 19/02/2008

Oleh SAYED HESHAM IDRIS

KUALA LUMPUR - Sembilan gol dalam Liga Super bersama Selangor sudah cukup untuk meletakkan Safee Sali sebagai antara penyerang yang digeruni dalam saingan liga musim ini.

Jaringan kemenangan pada minit ke-82 untuk Selangor menewaskan UPB MyTeam di Shah Alam, Selangor Sabtu lalu membuktikan sentuhan berbisanya semakin menjadi.

Malahan dalam tiga perlawanan terakhir Selangor, Safee tidak pernah ketandusan jaringan.

Menurut pemain kelahiran Kajang, Selangor itu, dia gembira kerana dapat menyumbat gol dalam setiap perlawanan.

Jelasnya, dia berharap dapat meneruskan sentuhan jaringan pada perlawanan pusingan pertama Piala FA menentang Brunei DPMM di Shah Alam hari ini.

"Saya mahu meneruskan rentak jaringan seperti mana dalam Liga Super pada saingan Piala FA yang bermula esok (hari ini),'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menurut bekas pemain Sarawak itu, kehadiran semula pemain sayap lincah, Elie Aiboy menambahkan lagi sengatannya di depan pintu gol lawan.

Ini, katanya, dibantu gandingannya dengan bekas penyerang Perak, Frank Seator.

"Bantuan Elie dari bahagian sayap yang kerap menghantar bola ke kawasan tengah banyak membantu saya menjaringkan gol.

"Dia memainkan peranan besar membantu jentera serangan Selangor, juga rakan sepasukan lain,'' katanya.

Menurutnya, walaupun Elie baru tiga perlawanan bersama Selangor, namun pemain Indonesia itu cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan.

"Peranan dan sumbangan Elie kini semakin dirasai dan saya yakin dia mampu secara konsisten membantu Selangor menambah sengat di bahagian depan dalam dua atau tiga perlawanan lagi,'' katanya.

Begitupun, Safee berkata, dia tidak memikirkan perebutan anugerah Kasut Emas sebagai penjaring terbanyak liga.

"Anugerah peribadi tidak penting, jika saya menjaringkan gol, ia adalah untuk Selangor.

"Saya mempunyai harapan yang lebih tinggi daripada anugerah Kasut Emas, iaitu membantu Selangor memenangi kejuaraan musim ini,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4yhFswHo4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan