ARKIB : 20/05/2008
PETALING JAYA Malaysia hampir
mengejutkan pasukan pilihan, skuad Olimpik Nigeria apabila mengikat pasukan itu
1-1 pada perlawanan Kumpulan A kejohanan bola sepak Piala Antara Benua di
Stadium Petaling Jaya, semalam.
Bagaimanapun, keputusan yang
agak membanggakan itu tidak cukup untuk membawa skuad bimbingan B. Sathianathan
mara ke separuh akhir kerana kekurangan jaringan gol berbanding Ireland yang
akan mengiringi Nigeria.
Nigeria menjadi pilihan
mengungguli Kumpulan A kerana dijangka tidak menghadapi masalah menewaskan Iraq
pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan, esok.
Pada perlawanan semalam, Safee
Sali sekali lagi menjadi penyelamat apabila menjaringkan gol penyamaan pada
minit ke-80 menerusi rembatan padu dari dalam kawasan penalti.
Sebelum itu, Nigeria lebih dulu
membuka jaringan menerusi Okorowanta Bernard pada minit kesembilan.
Walaupun pada awalnya pertemuan
tersebut dijangka berat sebelah memandangkan Nigeria membariskan pemain yang
bakal beraksi di sukan Olimpik Beijing Ogos ini namun skuad bawah 23 tahun
negara membuktikan Malaysia bukan skuad belasahan.
Namun babak awal dikuasai
Nigeria, yang sebahagian besar pemainnya beraksi dalam kelab di sekitar Eropah
menggunakan kelebihan fizikal untuk mudah mematahkan asakan pemain negara.
Sementara itu dalam satu lagi
perlawanan kumpulan sama, Ireland dan Iraq seri tanpa jaringan pada perlawanan
di Stadium Bolasepak Cheras.
Ireland bagaimanapun
mengesahkan tempat ke separuh akhir tanpa perlu menunggu keputusan perlawanan
Iraq-Nigeria esok selepas mereka memiliki kelebihan jaringan berbanding
Malaysia.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0520&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4zWXT1SL2
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan