Isnin, 27 November 2017

Ramai ramal Selangor juara

ARKIB : 21/06/2008
 
KELIBAT Mohd. Safee Sali pasti akan dinanti oleh pasukan Hijau Kuning untuk menghalang kemaraannya di Stadium Shah Alam, malam ini.

KUALA LUMPUR - Majoriti jurulatih pasukan Liga Malaysia memilih Selangor akan menjulang Piala FA dengan mengatasi Kedah, manakala jurulatih negara, B. Sathianathan menganggap kedua-duanya seimbang dan sepakan penalti mungkin menjadi penentu perlawanan akhir, malam ini.

Gergasi Merah menjadi pilihan Mohamed Bakar (Pulau Pinang), K. Devan (Kuala Muda) dan Steve Darby (Perak), sementara hanya jurulatih Polis, K. Thaiyanathan yang meletakkan Kedah selaku pemilik trofi persaingan bola sepak kalah mati kebangsaan itu.

Ketika Sathianathan memberikan peluang 50-50 bagi kedua-dua gergasi Liga M itu, jurulatih pasukan lain menganggap keputusan perlawanan yang diramalkan hebat lagi mendebarkan di Stadium Shah Alam ini hanya akan dibezakan dengan satu gol.

Kata Mohamed, pengalaman kerap beraksi dalam perlawanan akhir kebanyakan pertandingan besar bakal memberikan banyak kelebihan kepada Selangor untuk kembali menjulang Piala FA buat kali kelima selepas 1991, 1997, 2001 dan 2005.

"Kedah akan turun tanpa dua pemain importnya walaupun masih memiliki ramai pemain muda dan tempatan yang bagus tetapi perlawanan sehebat ini bakal jadi milik Selangor dengan bezanya cuma satu gol," kata bekas penolong jurulatih skuad negara layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980 ini.

Bagi Devan yang anak buahnya ditewaskan Selangor dengan agregat 4-2 dalam suku akhir Piala FA, berkata, setelah kerap hampa kepada Kedah dalam dua perlawanan Liga Super dan dipotong tiga mata, Selangor bakal menang 2-1 kerana keazaman untuk menebus kembali kesilapan lalu.

"Stadium Shah Alam (gelanggang sendiri) merupakan satu lagi faktor yang memihak Selangor di samping kekuatan serangan mereka (yang dibarisi Safee Sali dan Frank Seator)," katanya yang turut pernah melatih Negeri Sembilan dan Melaka.

Sependapat dengannya dalam memilih Merah Kuning mengatasi Hijau Kuning ialah Darby yang mengatakan ia satu aksi sengit tetapi tanpa tonggak import, kemenangan akan menyebelahi Selangor namun ia tetap akan berakhir dalam tempoh 90 minit permainan sebenar.

Sebagai rekod, Darby sendiri telah merasai keperitan jentera serangan anak buah Dollah Salleh yang memusnahkan Seladang dengan agregat 6-5 dalam pusingan kedua Piala FA selain 4-1 ketika pusingan kedua Liga Super di Ipoh pada 12 Februari lalu.

Thaiyanathan bagaimanapun berkata, Kedah walaupun memiliki barisan pemain muda, tetap mempunyai pengalaman lebih luas dalam Piala AFC (kelab Asia bahagian dua) dan persefahaman mantap kerana sudah bermain bersama sejak dua atau tiga musim Liga M yang lalu.

"Kedah mampu menang 2-1 kerana kekuatan mereka seimbang pada semua bahagian," katanya yang menolak kemungkinan perlawanan akhir edisi ke-19 ini bakal diheret ke masa tambahan mahupun sepakan penalti seperti yang menyebelahi Kedah 4-2 ke atas Perlis, tahun lalu.

Kata Sathianathan, yang membezakan Selangor dan Kedah ialah kemantapan penyerang masing-masing dalam menyudahkan setiap peluang terhidang dengan perhatian pasti terarah kepada Safee Sali dan Khyril Muhymeen Zambri - dua ayam tambatannya dalam skuad negara.

"Selangor kuat, Kedah pun gagah tetapi dalam setiap perlawanan akhir, siapa yang menyambar peluang dan kurang kesilapan, dialah juara," katanya yang bakal menyaring beberapa pemain lagi daripada Piala FA dan Piala Malaysia ke skuad negara untuk menentang India di Hyderabad, bulan depan
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4zcHv9XGR

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan