Khamis, 25 April 2019

Sedia gempur!


MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Kombinasi penggempur muda dan berpengalaman menjadi taruhan untuk PKNS FC memburu gelaran dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Selain memiliki penyerang kebangsaan Safee Sali, kelab yang berpangkalan di Lembah Klang itu menambah sengat dengan kehadiran penyerang Brazil, Rafael Ramazotti dan penyerang skuad B-23 negara, Jafri Firdaus Chew.

Ramazotti, bekas penjaring terbanyak Liga Singapura ketika beraksi dengan kelab Brunei DPMM FC pada 2015 dan 2016 adalah pemain import terakhir dibawa masuk oleh Datuk K Rajagobal musim ini.

“Saya menolak beberapa tawaran termasuk dari kelab Thailand untuk menyertai PKNS. Saya memang tertarik untuk bermain di Malaysia kerana saya mengikutinya sejak bermain di Singapura. Malah di Brunei juga ramai pengikut Liga Malaysia.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran gol walaupun sebelum ini purata saya menjaringkan lebih 20 gol semusim, saya berharap untuk dapat meneruskan rentak itu,” katanya.

Sementara itu, Jafri, 20, berkata, dia tidak sabar untuk bergandingan bersama Safee dan Ramazotti yang cukup berpengalaman.

“Safee adalah idola saya, sebelum ini saya melihatnya beraksi di stadium dan tak sangka sekarang saya berpeluang bermain bersamanya. Ini peluang terbaik untuk saya belajar dengan Safee dan pemain lain,” katanya.

PKNS FC bakal memulakan kempen Liga Super bertemu Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam ini dan Jafri berharap dapat melakar permulaan baik bersama pasukan selepas berpindah dari Pulau Pinang.

“Memang berharap untuk diberi peluang bermain, tak kisah dengan siapa digandingkan. Saya kena berusaha merebut tempat dan saya percaya peluang sentiasa ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 3:17 AM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan