Khamis, 25 April 2019

'Menang saja tak cukup...'


MyMetroArena
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Tiga mata hasil kemenangan pertama Liga Super ke atas Pahang kelmarin masih belum memuaskan hati pengendali PKNS FC, Datuk K Rajagobal.

Biarpun memuji kesungguhan anak buahnya pada perlawanan yang nyata lebih dikuasai pelawat, beliau mengharapkan prestasi lebih baik apabila mereka berdepan aksi seterusnya menentang Perak di Stadium TLDM, Lumut, esok

“Ia bukan perlawanan yang mudah kerana Pahang memiliki pemain bagus di setiap posisi. Kami bermula agak perlahan dan tidak bermain dengan kemampuan sebenar. Kami banyak bergantung kepada serangan balas pantas menerusi pemain sayap kami, Jafri (Firdaus Chew) dan Faris (Ramli).

“Pada babak kedua kami bermain lebih baik cuma 15 minit terakhir kami diasak oleh Pahang. Dengan pemain import mengalami sedikit kecederaan, saya lega dengan cara kami mengawal situasi dalam permainan tapi masih banyak yang perlu diperbaiki untuk perlawanan selepas ini. Apa yang penting kami mendapat tiga mata,” katanya pada sidang media selepas perlawanan kelmarin.

Ia kemenangan pertama PKNS selepas sekadar seri 2-2 dengan Terengganu minggu lalu sekali gus membolehkan mereka melonjak ke tangga keempat liga dengan empat mata di belakang pendahulu Selangor, Johor Darul Ta’zim dan Perak.

Bagaimanapun, skuad Semut Merah itu terpaksa menunggu hingga minit akhir perlawanan untuk menundukkan Pahang menerusi gol tunggal penyerang dan kapten Safee Sali.

“Dia (Safee) bekerja keras, permainannya lebih baik daripada perlawanan pertama. Tapi semua pemain memberi fokus dan kekuatan mental untuk memenangi perlawanan tadi (kelmarin),’’ ujar Rajagobal yang juga bekas pengendali kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 9:51 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan