MyMetroNode
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas pemain bola
sepak kebangsaan dan pengkritik, Serbegeth Singh percaya skuad kendalian Datuk
Ong Kim Swee akan mempunyai nafas baru jika penjaring terbanyak Piala AFF 2010,
Safee Sali (gambar) diberi tugas selaku kapten Harimau Malaysia.
Katanya, berbekalkan pengalaman
luas di pentas antarabangsa dengan pelbagai kejayaan manis dilakar penyerang
Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Safee diyakini mampu memikul tanggungjawab itu
terutama dalam memotivasikan pemain lain.
“Selepas persaraan mengejut empat
pemain termasuk ketua pasukan negara Safiq Rahim baru-baru ini, saya nampak
pemain paling berpotensi boleh menggantikannya ialah Safee.
“Walaupun usianya sudah
menjangkau 32 tahun, dia mempunyai semangat tinggi melawan kuat seperti mana
ditunjukkan sepanjang bersama Johor DT.
“Dia masih lagi menjadi pilihan
utama Mario Gomez biarpun tidak menjaringkan gol namun gerakannya banyak
membantu rakan lain mendapatkan jaringan.
“Saya tidak menilai dia dari segi
umur sebaliknya persembahannya di padang.
“Saya percaya jika Kim Swee
melantiknya sebagai ketua pasukan, mungkin pasukan kali ini akan tampil lebih
mantap berbanding dua tahun lalu,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Safee yang muncul pemain
profesional pertama tempatan beraksi dalam Liga Super Indonesia bersama Pelita
Jaya pada 2011, dilabel antara penyerang terbaik rantau ini selepas aksi
memukau yang membantu Malaysia menjuarai Piala AFF 2010 di samping turut meraih
anugerah penjaring terbanyak.
Malah, ada juga yang membayangkan
kelibatnya persis legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari yang
terkenal dengan gelaran SuperMokh.
Mengenai peluang pasukan negara,
Serbegeth berkata, berdasarkan aksi kelab Myanmar dalam saingan Piala AFC iaitu
Ayeyawady United dan Yangon United, beliau melihat pasukan tuan rumah itu
sebagai ‘pengacau’.
“Vietnam pula tidak sebaik
pasukan sebelum ini kerana mereka sedang mempersiapkan pasukan baru, manakala
juara di pusingan kelayakan pula selangkah di belakang kita. “Jadi enam mata
wajib diraih ke atas dua-dua pasukan itu manakala dengan Myanmar, mungkin
50-50,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Khamis, 4 Ogos 2016 @ 8:54 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan