Khamis, 25 April 2019

Safee semakin bernafsu


MyMetroNode
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Segala-galanya berlaku dengan pantas dan tanpa berfikir panjang saya terus membuat sepakan gunting tapi tidak menduga bola itu masuk,” kata Safee Sali mengenai jaringan cantiknya ketika membantu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menang 4-1 ke atas East Bengal, malam kelmarin.

Ternyata gol itu menyuntik semangat baru buat Safee yang sekian lama tidak diturunkan selepas dibayangi kelibat penyerang import Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa.

Bagaimanapun Safee yang tidak mahu diangkat selaku penjaring tercantik pada aksi menentang kelab dari India dalam saingan sulung Kumpulan F Piala AFC itu, menganggap gol berkenaan terhasil daripada kerja keras rakan sepasukan.

“Tanpa mereka sudah pasti saya tidak dapat menjaringkan gol itu. Saya agak bernasib baik kerana berada dalam kedudukan dan masa tepat untuk melakukan sepakan gunting itu.

“Saya harap dapat menjaringkan lebih banyak gol lagi selepas ini. Paling mustahak, saya mendapat kembali keyakinan untuk memberikan yang terbaik dan berharap momentum ini dapat dikekalkan,” katanya.

Mengulas mengenai persembahan agak kelam-kabut sepanjang 20 minit pertama, Safee mengakui dia perlu menyesuaikan diri dengan rentak permainan selepas sekian lama tidak diturunkan dalam kesebelasan utama.

Malah katanya, kepercayaan diberikan ketua jurulatih Bojan Hodak amat berharga selain sokongan rakan sepasukan yang beraksi konsisten sehingga misi mencipta kemenangan di laman sendiri tercapai.

“Kemenangan ini cukup bermakna selepas kami berdepan kesukaran kerana gagal menang dalam dua aksi Liga Super.

“Apapun perjalanan masih jauh dan kami harus sentiasa berada dalam keadaan bersedia apabila berdepan Pahang pada saingan Piala FA di tempat lawan,” kata Safee.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 8:18 AM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan