MyMetroArena
Zulfaizan Mansor
zulfaizan@nstp.com.my
JARINGAN Rafael Ramazotti dan
kapten, Safee Sali pada babak kedua memadai untuk PKNS FC meraih kemenangan 2-0
ke atas Melaka United di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.
Tiga mata berharga diraih skuad
kendalian Datuk K Rajagobal itu membolehkan mereka mengumpul 14 mata selepas
sembilan perlawanan.
Malah, kemenangan itu juga sudah
pasti menjadi pengubat kekecewaan selepas tewas tipis 1-2 kepada Kuala Lumpur
di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Rabu lalu.
Bagi Melaka United pula, ia
adalah kekalahan keenam dialami mereka dan skuad Hang Tuah kini berada di
kedudukan 10 selepas hanya mengumpul sembilan mata.
Pada aksi sebentar tadi,
kegagalan jentera serangan kedua-dua pasukan melakukan penyudah menyaksikan
babak pertama berakhir tanpa jaringan.
PKNS perlu menunggu hingga minit
ke-68 untuk membuka jaringan menerusi Ramazotti sebelum Safee menambah gol
kedua ketika perlawanan berbaki 10 minit.
Melaka United cuba bangkit dengan
beberapa gerakan, namun berjaya dipatahkan pertahanan PKNS yang diketuai Zac
Anderson, sekali gus menyaksikan keputusan 2-0 memihak Semut Merah kekal hingga
wisel penamat.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada
: Ahad, 6 Mei 2018 @ 12:12 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan