Selasa, 10 Disember 2019

Safee puas!


Simpan Artikel
MyMetroNode
Oleh Rizar Mohd Noor
rizar@hmetro.com.my

Johor Bahru: Walaupun hanya beraksi pada babak kedua, kelibat Safee Sali amat berharga buat Johor Darul Ta’zim (Johor DT) kerana menjadi pencetus kebangkitan pasukan itu.

Ketika aksi tampak berkesudahan seri tanpa jaringan, Safee yang masuk menggantikan Hariss Harun berjaya meledak gol pertama skuad Harimau Selatan diikuti jaringan kapten Safiq Rahim dan Luciano Figueroa pada tempoh 15 minit terakhir perlawanan.

Bagi Safee, kepercayaan ketua jurulatih Mario Gomez dibalas dengan gol penting Johor DT yang terpaksa berhempas pulas sepanjang 75 minit perlawanan.

“Saya berterima kasih kepada jurulatih kerana memberi peluang menerajui barisan serangan pada babak kedua biarpun sebagai pemain gantian dan saya lega dapat menjaringkan gol.

“Dalam kerjaya saya tiada erti putus asa sebaliknya terus berusaha memberi sumbangan terbaik kepada pasukan.

“Ini adalah gol kedua peribadi saya pada saingan Piala AFC dan saya anggap semuanya hasil kerjasama berpasukan untuk merealisasikan sasaran meraih tiga mata.

“Mengenai kehadiran Gomez, saya akui memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan corak taktikal diterapkan tetapi ia tidak menimbulkan masalah kerana saya dan rakan sepasukan perlu memahami apa kehendaknya,” katanya.

Safee menambah persiapan lebih rapi dibentuk Gomez dalam memperbaiki apa jua kelemahan ketika pertembungan menentang Balestier Khalsa FC, kelmarin.

Malah katanya, kemenangan 3-0 itu juga cukup penting kerana memberi lebih keyakinan kepada pemain meneruskan perjuangan memburu kemenangan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 7:22 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan