MyMetroNode
Kuala Lumpur: Penyerang Harimau
Malaya Safee Sali ibarat ‘mati hidup semula’ selepas meledak gol untuk
mencetuskan inspirasi pasukan negara menewaskan musuh tradisi Singapura 3-2
pada aksi getir Kumpulan B Piala AFF 2014, kelmarin.
Gol pembukaan pemain kontroversi
itu di Stadium Nasional, Kallang pada minit ke-60 itu jaringan pertamanya dalam
perlawanan kompetitif sejak November 2012, namun ia dilihat lebih bermakna
daripada itu.
Berikutan ramai pihak menganggap
karier Safee, 30, di pentas antarabangsa sudah berakhir susulan prestasi hambar
serta kontroversi penyebaran gambarnya sedang menghisap rokok di salah sebuah
restoran di Singapura sehari sebelum perlawanan, dia memilih waktu yang tepat
untuk melenyapkan kritikan itu.
“Saya gembira dapat menjaringkan
gol untuk membantu kemenangan pasukan. Kejayaan malam ini (kelmarin) akan
melenyapkan semua masalah sebelum ini.
“Terima kasih juga kepada rakan
sepasukan yang sama-sama berjuang untuk membuktikan isu luaran tidak mengganggu
fokus kami,” katanya.
Safee, pemenang anugerah Kasut
Emas dengan ledakan lima gol sewaktu membantu Malaysia menjuarai Piala AFF 2010
terus mendapat kepercayaan jurulatih Dollah Salleh untuk berada dalam kesebelasan
utama menentang Singapura meskipun tidak menyerlah ketika tewas 2-3 kepada
Thailand sebelum itu.
Bagaimanapun bintang Johor Darul
Ta’zim itu membalas kepercayaan Dollah dengan menyumbat gol pertama menerusi
rembatan deras ke gawang tuan rumah selepas percubaan terbaiknya pada babak
pertama terkena tiang.
Safee yang kini sudah mengumpul
lapan gol dalam tiga kejohanan Piala AFF percaya dia kini sudah mendapat
keyakinan untuk membantu negara melepasi halangan Vietnam di separuh akhir
pertama di Shah Alam, Ahad ini dan Hanoi (11 Disember).
“Alhamdulillah saya sudah
mendapat semula keyakinan dan berharap ia berterusan sehingga ke separuh akhir.
“Saya tidak meletakkan sebarang
sasaran peribadi (penjaring terbanyak) kerana apa yang penting kemenangan
pasukan,” katanya.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:03 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan