MyMetroUtama
Aziman Rosdi
aziman@nstp.com.my
Kuala Lumpur: Penyerang
berpengalaman, Safee Sali berharap status pemain kacukan bukan tiket automatik
untuk seseorang itu menyarung jersi kebangsaan.
Dia berkata, pemilihan pemain
seharusnya dinilai mengikut prestasi dan bukan kerana pemain itu berdarah campuran
semata-mata.
“Pemain bola sepak bukan ikut
darah campuran atau tidak, tapi kemampuan pemain itu membentuk kombinasi yang
baik dalam pasukan.
“Jika pemain kacukan itu mampu
memberikan perubahan kepada pasukan kebangsaan, itu bagus tapi kalau sekadar
ingin mendapatkan hak kerakyatan dan tiada kesungguhan untuk mewakili negara
pada saya ia hanya sia-sia. Lebih baik peluang itu diberikan kepada pemain
tempatan, ada ramai lagi yang bagus,” katanya.
Lambakan pemain kacukan yang kini
membanjiri Liga Malaysia dijangka mencetuskan angin perubahan baru dalam skuad
kebangsaan.
Ketika ini, terdapat 14 pemain
kelahiran luar negara yang mempunyai pertalian darah di negara ini diberikan
hak kerakyatan dan boleh dipanggil pada bila-bila masa oleh jurulatih kebangsaan
Tan Cheng Hoe.
Antaranya La-Vere Corbin-Ong,
Natxo Insa, Curran Ferns dan Daniel Ting.
Ketika ini, hanya Matthew Davies
(14 kap), Darren Lok (9), Brendan Gan (8), Kiko Insa (6), Khair Jones (4)
pernah mewakili skuad Harimau Malaya.
DAVIES (kiri) antara beberapa
pemain naturalisasi di dalam skuad Harimau Malaya. FOTO Luqman Hakim Zubir
Menurut Safee yang pernah
dinobatkan penjaring terbanyak ketika membantu negara menjulang trofi Piala AFF
2010, kebanyakan pemain kacukan yang dimiliki negara ketika ini memiliki
kemampuan lebih kurang sama dengan pemain tempatan.
“Pada saya, hanya dua-tiga pemain
kacukan yang dilihat memiliki kualiti lebih baik berbanding pemain tempatan dan
yang lain saya fikir lebih kurang sama saja.
“Kita tak boleh terlalu taksub
dengan pemain kacukan, jika mereka benar bagus, tiada masalah untuk menyertai
skuad kebangsaan. Kita boleh lihat, Indonesia, Singapura yang memiliki pemain
naturalisasi tapi belum lagi boleh pergi jauh. Sedangkan Thailand yang lebih
ramai pemain tempatan nampak lebih bagus,” kata Kapten PKNS FC itu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada
: Khamis, 22 Februari 2018 @ 5:49 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan