Tuesday, December 27, 2011
KUALA LUMPUR – Kontraknya bersama
Pelita Jaya bakal berakhir pada 31 Januari depan namun sehingga kini, penyerang
kebangsaan negara, Safee Sali, masih belum dapat memutuskan secara pasti ke
mana hala tuju selepas ini.
Ditambah kemelut yang sedang
melanda Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengenai status sebenar
Liga Super Indonesia (ISL), Safee dilihat semakin sukar membuat keputusan
terbaik sama ada mahu kekal di Pelita Jaya atau memilih jalan sebaliknya.
“Buat masa ini saya masih hormat
baki kontrak dengan Pelita Jaya dan mengenai isu status pengharaman ISL, saya
tidak mahu terlalu fikirkan sangat.
“Sebagai pemain, memang tidak
dinafikan saya agak risau juga dengan keadaan terkini di sana tetapi tugas saya
adalah untuk bermain bola sepak.
“Biarlah kemelut dalaman ini
diselesaikan sendiri oleh PSSI, ini bagi saya adalah masalah kepimpinan, ”
katanya pada sidang media khas mengenai isu pengharaman ISL di The Curve,
semalam.
Begitupun, Safee menyatakan dia
masih menyayangi Pelita Jaya dan bersedia menyambung kontrak jika status ISL
dapat diselesaikan.
“Memandangkan sambutan penyokong
agak meriah dan ramai menghargai saya, itu mungkin menjadi punca utama buat
saya jika mahu menyambung kontrak di Pelita Jaya.
“Ekoran tawaran-tawaran lain
masih belum datang, saya ada kemungkinan akan meneruskan kerjaya dengan Pelita
Jaya
“Skil individu dan keyakinan saya
juga banyak meningkat semenjak bermain di Pelita dan ia secara tidak langsung
banyak membantu aksi saya ketika mewakili skuad kebangsaan, ” katanya.
Difahamkan, Safee ada mendapat
tawaran tidak rasmi dari beberapa pasukan dari Belgium, Jerman, Thailand, India
dan Vietnam selain turut mendapat tawaran berlatih dengan kelab milik Tan Sri
Tony Fernandes, Queens Park Rangers (QPR).
Pengurus peribadi Safee, Zakaria
Ab. Rahim mengakui pemain berusia 27 tahun itu masih boleh beraksi selama lima
tahun lagi di luar negara.
“Safee boleh bermain lima tahun
lagi dan kalau boleh biarlah dia bermain di luar negara namun jika mendapat
tawaran yang baik dari pasukan Liga Malaysia, ada kemungkinan dia boleh
kembali, ” katanya.[i]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan