ARKIB : 17/09/2008
Mohd. Safee Sali (kanan) menjadi
antara tonggak harapan negara dalam membawa cabaran perlawanan Pestabola
Merdeka dan Piala AFF selain Piala Asia 2011.
KUALA LUMPUR - Ada atau tanpa
India dalam Kumpulan C, pusingan kedua Kelayakan Piala Asia 2011 yang bermula
Januari ini ekoran keputusan Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) kelmarin, tetap
dianggap sama sahaja buat jurulatih skuad negara, B. Sathianathan, lapor ABDUL
HAFIZ AHMAD.
Menurutnya, ketiadaan negara Asia
Selatan itu yang diberikan kelayakan automatik sebagai juara Piala Cabaran AFC,
bulan lalu, juga tidak mencetuskan laluan atau peluang yang lebih mudah buat
anak buahnya memburu tiket pusingan akhir di Qatar.
"Masih ada dua lawan yang
perlu ditentang (Uzbekistan dan Emiriah Arab Bersatu - UAE) dan kita perlu
berada antara dua teratas dalam kumpulan ini, jadi ia tidak juga mudah
sebaliknya sama sahaja," katanya kepada Utusan Malaysia melalui e-mel.
Kata Sathianathan, skuad negara
masih perlu bekerja keras dalam mengharungi kedua-dua lawan yang mempunyai
rekod pertemuan dan ranking dunia serta Asia yang jauh lebih baik di gelanggang
Malaysia dan mereka.
Malah dua pertemuan dengan
Uzbekistan dan UAE tahun lalu menyaksikan skuad negara yang ketika itu
dibimbing oleh Norizan Bakar dibelasah 5-0 dalam pusingan akhir Piala Asia di
Bukit Jalil dan 3-1 ketika perlawanan persahabatan di Petaling Jaya.
"India bertuah kerana layak
lebih mudah dengan menjuarai Piala Cabaran tetapi kita masih perlu bekerja
keras untuk layak ke Qatar," katanya yang kini sedang memimpin skuad
negara dalam siri perlawanan persahabatan menentang kelab tempatan di Slovakia
sejak minggu lalu.
India mulanya diundi dalam
Kumpulan C Kelayakan Piala Asia 2011 tetapi kejayaannya menjulang Piala Cabaran
dengan menewaskan Tajikistan 4-1 dan pengiktirafan AFC, terus membatalkan
kesemua jadual perlawanan termasuk menentang Malaysia pada 28 Januari 2009 dan
3 Mac 2010.
Malaysia pernah layak ke pusingan
akhir Piala Asia 1976 di Tehran dan 1980 di Kuwait selain cuma mara secara
automatik sebagai tuan rumah bersama Indonesia, Vietnam dan Thailand tahun
lalu.
Sementara itu, Sathianathan telah
mengatur siri perlawanan persahabatan untuk 25 pemain negara dengan kelab
bahagian satu dan dua Slovakia antaranya Rimavska Sobota, Slovan Bratislava,
Lucenec FC, MFK Ruzeomberok dan FC Nitra sejak semalam hingga 27 September ini.
"Kami menentang kelab yang
lebih rendah divisyennya sebelum mencuba gandingan kesebelasan utama terbaik
pada dua perlawanan terakhir," katanya yang menghadapi misi sulung
pertandingan sebenar pada Pestabola Merdeka Ke-40 dari 15 hingga 25 Oktober ini.
Anak buahnya turut dikerah ke
Piala Cabaran Grand Royal Myanmar, November ini sebelum menghadapi misi
kemuncak, Piala Suzuki AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) dalam Kumpulan B yang
berpangkalan di Thailand dari 5 hingga 28 Disember ini.
Malaysia menganggotai Kumpulan B
Piala Suzuki AFF atau dulunya Kejohanan AFF dan Piala Tiger, dengan naib juara
2007, Thailand, Vietnam dan juara pusingan kelayakan di Kemboja antara tuan
rumah, Laos, Filipina, Brunei dan Timor Leste pada bulan depan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz50RbHaqZ7
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan