Ahad, 12 Mei 2019

Safee, Razman sokong Spurs


 
Safee, Razman sokong Spurs
12 Mei 2019 12:04 AM
KUALA LUMPUR 12 Mei - Berbanding Liverpool, Tottenham tidak mempunyai kumpulan penyokong yang ramai di Malaysia mahu pun di seluruh dunia.
SAFEE SALI memuat naik gambar memakai jersi Tottenham dalam Instagram.

Bagaimanapun, kejayaan kelab Liga Perdana Inggeris itu melakar kejayaan sensasi mara ke final Liga Juara-Juara buat kali pertama, Khamis lalu telah mendorong peminat mereka memunculkan diri.

Dua bintang bola sepak tanah air, Safee Sali dan Razman Roslan antara yang mengumumkan secara rasmi bahawa mereka adalah penyokong kelab London itu.

Bagaimanapun enggan dicop sebagai penyokong ‘mee segera’ iaitu muncul secara tiba-tiba ketika kelab berada di puncak kejayaan, Razman turut memuat naik gambar pas Piala AFC 2015 yang memperlihatkan dia memakai jersi Tottenham ketika itu.

“Ni bukti bukan baru minat..sampai gambar lesen pun pakai jersi (Spurs),” tulisnya dalam kapsyen gambar yang dimuat naik di Instagram.

Hantaran bek tengah Melaka United itu menerima usikan daripada rakan-rakannya, termasuk penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid yang menulis: “Baju Spurs, muka Man. U (Manchester United)”.

Sementara itu, Safee memuat naik gambarnya memakai jersi Spurs sambil menyuarakan rasa kagum terhadap pengendali Liverpool, Jurgen Klopp dan pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino.

“Minggu terbaik dalam bola sepak. Minggu yang banyak mengajar kita dalam perlawanan bola sepak mahu pun kehidupan..Semuanya TIDAK MUSTAHIL selagi kita mengejar impian dan sentiasa berusaha untuk berjaya.

“Sampai minit terakhir masih boleh lakukan sesuatu. Semangat yang ditunjukkan membuka mata dunia. Strategi kalahkan filosofi untuk memenangi perlawanan penting. Jurulatih memainkan peranan penting dalam mencorak karakter pemain,” kata bekas penyerang kebangsaan yang kini menyarung jersi PJ City. – SUMBER UTUSAN ONLINE 12 Mei 2019 12:04 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan