Rabu, 15 Mei 2019

Safee julang Johor DT

Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI dan KU MOHD. RIZDUAN KU ABDUL RAHMAN
PEMAIN ATM, Mohd. Azreen Zulkapli (kanan) cuba menghalang pemain Johor DT, S. Kunalan pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

JOHOR Darul Takzim (Johor DT) kembali menghidupkan peluang terbaik dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Super musim ini apabila menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi malam tadi.

Kejayaan itu hadir menerusi penyerang kebangsaan, Safee Sali yang meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-70, sekali gus membantu skuad kendalian Mario Gomez me­rampas status pendahulu liga dari Pahang yang tewas 2-4 kepada Lions XII.

Bekas pemain Selangor, Safee bijak menyempurnakan hantaran tendangan sudut dari S. Chanturu sebelum mudah menewaskan penjaga gol pasukan tuan rumah, Hafizuddin Azuhar.

Skuad Harimau Selatan bakal menanti kunjungan Lions XII di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, manakala ATM yang kini menduduki tangga kedua tercorot liga dengan pungutan 10 mata, akan menentang Selangor di Stadium Shah Alam, Rabu ini.

Dalam perkembangan sama, hasrat Pahang untuk terus memberikan tekanan kepada juara bertahan, Johor DT tidak kesampaian apabila pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan tewas 2-4 kepada Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singa­pura.

Wakil Singapura itu tidak mengambil masa lama untuk membuka jaringan menerusi Faris Ramli seawal minit ke-17 sebelum Madhu Mohana menggandakan kedudukan pada minit ke-30.

Penyerang import Argentina, Matias Conti kembali mengurangkan defisit jaringan perlawanan apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-43 tetapi Faris sekali lagi memastikan pasukan tuan rumah berada di dalam keadaan selesa dengan meledak gol ketiga Lions XII pada minit ke-59.

Safuwan Baharudin tidak ketinggalan untuk melakar nama selaku penjaring pada minit ke-85. Pahang yang memperoleh gol kedua menerusi jaringan R. Surendren pada masa kecederaan, terpaksa akur dengan keputusan 4-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas aksi tersebut, Pahang bakal menanti kunjungan Kelantan di Stadium Darul Makmur, Kuantan manakala Lions XII bertemu pendahulu Liga Super, Johor DT.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0809&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3iGjG9cW3 Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan