Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
hidayat.azmie@kosmo.com.my
ZAKARIA (kanan) menjelaskan
bahawa Safee (kiri) masih menjadi milik kelab Arema Malang.
"SAFEE (Mohd. Sali) masih
memiliki kontrak bersama Arema Indonesia sehingga Februari tahun depan.
"Jika dia tidak lagi
diperlukan Johor Darul Takzim (Johor DT), mana-mana pasukan yang berminat perlu
berurusan dengan Arema Indonesia terlebih dahulu sebelum mendapatkan khidmat
Safee."
Demikian jelas pengurus peribadi
Safee, Zakaria Ab Rahim ketika mengulas khabar angin berhubung masa depan
penyerang sensasi negara itu selepas ini.
Ketika ini, polemik mula tercetus
apabila Safee dikatakan bakal menyertai pasukan Liga Premier, Johor musim
depan.
Ia ekoran kehadiran dua penyerang
import, Pablo Aimar serta bekas penyerang Atletico Madrid, Braulio Nobrega
Rodriguez yang menyertai Johor DT baru-baru ini.
Selain faktor usia, krisis
kecederaan yang sering membelenggu Safee juga dikatakan antara faktor khidmat
penyerang itu tidak lagi diperlukan Johor DT yang berjaya mendapatkannya
menerusi pinjaman daripada Arema Indonesia (dahulunya dikenali sebagai Pelita
Jaya) awal musim ini.
Mengakui tidak tahu-menahu
berhubung spekulasi berkenaan, Zakaria sebaliknya menasihatkan mana-mana
pasukan yang berminat melamar Safee supaya menghubungi pihak pengurusan Arema
Indonesia terlebih dahulu.
"Tempoh pinjaman Safee
bersama Johor DT akan berakhir pada November depan, jadi persoalan sama ada
Safee akan kembali beraksi di Indonesia mahupun menyertai mana-mana pasukan
lain di Malaysia hanya boleh diketahui selepas itu jika khidmatnya tidak lagi
diperlukan Johor DT," jelas Zakaria kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Zakaria mengakui
bersedia untuk kembali menguruskan karier Safee sekiranya penyerang itu
berhasrat untuk kembali beraksi di Indonesia.
"Terserah kepada Safee, sama
ada mahu kembali beraksi di Indonesia atau pun menyertai pasukan lain, saya
tidak berhak menjawab soalan itu.
"Cuma jika dia mahu kembali
ke Indonesia, saya bersedia membantu semula menguruskan karier Safee,"
jelas beliau.
Safee, 29, yang memulakan
kariernya bersama pasukan Kuala Lumpur, Sarawak dan Selangor kemudiannya
berhijrah ke Arema Indonesia pada 5 Februari 2011 sebelum muncul penjaring
terbanyak kelab itu dengan 20 gol musim lalu.
Sebaik kontraknya tamat pada 31
Januari 2012, Safee telah menandatangani kontrak lanjutan bernilai lebih RM2
juta bersama kelab Indonesia itu sebelum disunting Johor DT menerusi pinjaman
awal musim ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Arema
Indonesia, Iwan Budianto sebelum ini juga menegaskan bahawa pihaknya tidak akan
menjual Safee sebelum kontraknya tamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan