Jumaat, 9 Mac 2018

Rajagobal gembira Safee, Anderson kembali

Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
 
SAFEE Sali dan Zac Anderson membawa khabar gembira kepada jurulatih PKNS FC, Datuk K Rajagobal apabila kecederaan yang dialami kedua-duanya pulih tepat pada waktunya.

Kegembiraan itu turut dikongsi rakan sepasukan, Mahali Jasuli yang menganggap kehadiran semula Safee dan Anderson pasti memantapkan lagi pertahanan serta jentera serangan Semut Merah.

“Safee dan Zac adalah tonggak pasukan... ketiadaan mereka ketika kami menentang Kedah sedikit sebanyak tetap terasa walaupun secara keseluruhan semua pemain memberikan persembahan terbaik.

“Sudah pasti dengan kembalinya kedua-dua pemain itu, ia menambah keyakinan serta melonjakkan lagi semangat pasukan apabila bertemu Kelantan selepas ini.

“Kelantan bukan calang-calang pasukan, mereka menunjukkan peningkatan terutama ketika mengalahkan Perak (3-2), baru-baru ini.

“Sudah tentu semangat mereka semakin meningkat selepas menewaskan Terengganu City (2-0) pada pusingan kedua Piala FA,” katanya.

Mahali berkata, kedatangan semula penyerang import dari Lubnan, Mohamed Ghaddar seolah-olah menyuntik semangat baru kepada The Red Warriors.

Walaupun Ghaddar kelihatan masih tercari-cari sentuhan gol seperti dilakukan musim lalu namun Mahali menganggap penjaring terbanyak Liga Super 2017 itu masih mempunyai bisa.

“Mereka mempunyai barisan serangan yang bagus terutama gandingan Ghaddar dan Do Dong Hyun, jadi kami tidak boleh ambil mudah walaupun bermain di gelanggang sendiri,” kata Mahali.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Mac 2018 @ 2:31 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan