Rabu, 28 Februari 2018

PKNS FC harap Safee pulih


Rodly Fadly
sukanteam@nstp.com.my
KETUA pasukan PKNS FC, Safee Sali belum pasti beraksi pada perlawanan menentang Hanelang FC, pada pusingan kedua Piala FA, Jumaat ini sekali pun sudah pulih daripada kecederaan.

Safee yang terlepas aksi perlawanan menentang Kedah, Ahad lalu, menyaksikan PKNS tewas 3-4, telah kembali berlatih bersama rakan sepasukan serta kelihatan cergas.

Namun, ketua jurulatih Semut Merah, Datuk K Rajagobal tidak mahu terburu-buru membuat keputusan sebaliknya akan terus memantau perkembangan penyerang berusia 34 tahun itu.

“Saya masih ada beberapa hari untuk menamakan kesebelasan utama. Ketiadaan Safee dalam perlawanan menentang Kedah tempoh hari memang dirasai namun kami tidak boleh mengambil risiko menurunkannya jika dia belum benar-benar pulih atau cergas,” kata Rajagobal.

Begitu pun jurulatih itu menegaskan beliau akan tetap menurunkan barisan terbaik sekalipun berdepan Hanelang yang berstatus Liga FAM.

Beliau tidak mahu mengambil risiko memperjudikan nasib pasukan dengan menurunkan barisan simpanan kerana tidak rela diaibkan lawan.

“Saya tidak mahu terperangkap dengan pandangan ramai bahawa perlawanan ini mudah untuk kami kerana Hanelang adalah pasukan Liga FAM.

“Saya sentiasa menganggap setiap perlawanan adalah sukar, tidak kira siapa lawan kami. Apatah lagi dalam perlawanan kalah mati seperti ini, anda tidak boleh membuat eksperimen kerana tersilap langkah, boleh membawa padah.

“Oleh itu, saya akan tetap turunkan barisan terbaik kerana matlamat kami adalah memenangi perlawanan ini serta melangkah ke pusingan seterusnya,” kata Rajagobal.

Walau bagaimanapun beliau tidak menafikan mungkin memberi peluang kepada beberapa pemain yang belum atau jarang beraksi dalam Liga Super tanpa menjejaskan struktur kekuatan pasukan itu.

Jafry Firdaus Chew, Nuridzuan Abu Hassan dan K Gurusamy mungkin bakal membawa watak utama dalam perlawanan itu kelak sambil Mahali Jasuli, Fariz Ramli dan K Reuben serta pemain import kekal sebagai tulang belakang pasukan berkenaan.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 1:13 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan