Ahad, 18 Mac 2018

Kelantan 'kena' lagi

Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
 
MAGIS Datuk K Rajagobal terus menjadi buat PKNS FC apabila skuad itu mudah melangkah ke suku akhir selepas menumpaskan Kelantan 4-1 pada saingan 16 pasukan terbaik Piala FA di Stadium Shah Alam, di sini, malam tadi.

Rajagobal yang mula membimbing skuad Semut Merah secara rasmi pada awal musim ini dilihat berjaya menyuntik elemen berbeza dalam permainan pasukan itu berbanding musim lalu yang menyaksikan mereka terkandas seawal pusingan kedua kepada Melaka United 1-0.

Ternyata asakan bertalu-talu pasukan tuan rumah sejak wisel permulaan ditiupkan berjaya membuahkan hasil apabila PKNS FC dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-16 selepas tonggak tengah Kelantan, S Veenod tertampan bola di dalam kotak penalti.

Pemain import dari Colombia, Romel Oswaldo Morales yang diamanahkan mengambil tendangan itu mudah menewaskan penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat buat meletakkan pasukannya mendahului 1-0.

Skuad kendalikan Yusri Che Lah yang tewas 1-0 kepada lawan sama dalam saingan Liga Super pada minggu lalu berpeluang merapatkan kedudukan menerusi rembatan deras Mohamad Ghaddar minit ke-35 namun ianya sekadar menggegar tiang gol.

Sebaliknya, PKNS FC berjaya menambah gol kedua menerusi Mahali Jasuli pada minit ke-43 selepas memanfaatkan tampanan lemah Khairul Fahmi yang singgah ke kakinya untuk menolak masuk ke gawang pelawat.

Babak kedua perlawanan menyaksikan Kelantan cuba memperkemaskan aksi namun kerapuhan benteng mereka berjaya digunakan sebaiknya oleh jentera serangan PKNS FC apabila menambah dua lagi gol menerusi Safee Sali (minit 61) dan Rafael Ramazotti Quadros (minit 68).

Ketika saingan menuju ke penghujung, Kelantan diberikan sepakan penalti dan Mohamad Ghaddar yang mengambil mudah menghadiahkan gol sagu hati buat menamatkan perlawanan dengan 4-1.

sumberArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Mac 2018 @ 12:24 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan