Khamis, 22 Jun 2017

All White terlalu kuat


ARKIB : 24/02/2006
KUALA LUMPUR - Malaysia dihampakan lagi dengan jaringan lewat sehingga kecundang kali kedua dalam tempoh empat hari, 1-2 kepada New Zealand pada perlawanan bola sepak persahabatan, semalam.

Kali ini giliran Andy Barron membenam skuad negara di Stadium North Harbour, Albany, Auckland dengan rembatan pada minit ke-87 setelah mengutip tampanan kurang cermat Rudie Ramli.

Kedua-dua pasukan terikat 1-1 masing-masing menerusi jaringan Campbell Banks pada minit ke-18 sebelum Safee Sali menyamakan kedudukan, enam minit selepas itu.

Ahad lalu, New Zealand menumpaskan anak buah Norizan Bakar ini 1-0 di QE II Park, Christchurch.

Penjaga gol negara, Syamsuri Mustafa berhak dipuji kerana menangkis lima percubaan berbahaya tuan rumah termasuk sepakan lambung dan tandukan dekat Jeremy Brockie pada minit ke-80 dan 83.

All White mengejutkan pelawat dengan rembatan jarak dekat Banks untuk gol pertama daripada tandukan umpanan Noah Hickey hasil lambungan sayap lincah mereka, Leo Bertos dari sebelah kanan.

Kebangkitan Malaysia bagaimanapun terserlah menerusi rembatan deras Safee dari jarak 25 meter yang gagal ditampan dengan selamat oleh Glen Moss selepas menggelecek seorang pertahanan lawan.

Malaysia akan menentang Singapura dalam dua lagi aksi persahabatan di Stadium Nasional, Singapura dan Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 31 Mei dan 7 Jun ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4kmZ92u7L
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan