Rabu, 28 Jun 2017

Safee kekal bersama Sarawak



ARKIB : 25/07/2006
KUCHING - Hasrat Selangor untuk mendapatkan khidmat penyerang berbisa Sarawak, Mohd. Safee Sali mungkin tidak menjadi nyata apabila Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) tidak akan melepaskan pemain tersebut, lapor SAYED HESHAM IDRIS.

Presidennya, Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, keputusan itu selaras dengan pendirian persatuan yang tidak akan melepaskan mana-mana pemain yang mempamerkan prestasi terbaik musim ini.

Katanya, FAS tidak mahu persediaan Sarawak yang sudahpun layak ke Liga Super terganggu jika para pemain yang berpotensi menyerlah berhijrah ke pasukan lain.

‘‘Para penyokong Sarawak tidak perlu gusar dengan berita kononnya Mohd. Safee akan ke Selangor. Saya anggap ia sebagai spekulasi semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan pasukan juara tiga piala musim lalu, Selangor berminat untuk mendapatkan penyerang berusia 21 tahun itu yang mendapat jolokan ‘supermokh’.

Selangor dikatakan bersedia untuk menawarkan bayaran sehingga RM20,000 sebulan bagi mendapatkan Mohd. Safee bagi memperkuatkan barisan depan pasukan itu untuk saingan musim depan.

Mohd. Safee yang menyertai Sarawak musim ini menepati status penyerang berbisa apabila jaringannya memastikan Sarawak layak ke suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Pahang 1-0 di Kuantan, Sabtu lalu.

Mohd. Safee, pemain kelahiran Perak yang muncul penjaring terbanyak dengan tujuh gol ketika bersama Kuala Lumpur musim lalu meneruskan kecemerlangan apabila menjaringkan 11 gol dalam kempen Liga Perdana bersama Sarawak musim ini.

Tambah Abdul Rahman, FAS juga tidak dimaklumkan oleh mana-mana pihak yang dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat Mohd. Safee.

Beliau berkata, Mohd. Safee akan terus menjadi sandaran utama jentera serangan Sarawak musim depan dalam saingan lebih mencabar dalam Liga Super.

‘‘FAS juga akan menambat beberapa nama besar sukan bola sepak untuk persediaan musim depan.

‘‘Kita tidak akan melepaskan pemain yang menunjukkan prestasi memuaskan kerana ia akan menjejaskan persediaan Sarawak untuk aksi musim 2006/2007,” katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4lLmWOmRz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan