Rabu, 4 Januari 2017

Perkuat PKNS

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Bekas pemenang kasut emas Piala AFF 2010, Safee Sali (gambar) secara sahnya menyertai skuad kendalian E Elavarasan selepas ayam tambatan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu menandatangani kontrak selama semusim sekali gus menamatkan teka-teki mengenai masa depannya bersama kelab itu.

Jelas Safee, kesudian skuad Semut Merah menyenaraikannya untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan cukup berharga dan menegaskan dirinya sudah bersedia membantu naib juara Liga Perdana musim lalu itu.


“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan PKNS yang masih percaya terhadap keupayaan saya walaupun usia kini sudah mencecah 33 tahun.

“Saya akan gunakan segala pengalaman yang ada ketika bersama skuad negara dan Johor DT untuk memastikan kelab muncul antara pesaing terbaik musim ini,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, pengurus pasukan Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, proses penghijrahan bekas penyerang kelab Indonesia, Pelita Jaya itu sudah selesai dan memberi gambaran keupayaan Safee akan diuji pada aksi persahabatan bertemu Kuala Lumpur selepas ini.

“Safee akan menyertai sesi latihan kami bermula minggu ini dan berkemungkinan besar akan diturunkan pada aksi persahabatan menentang pasukan Liga Premier, Kuala Lumpur nanti.

“Mengenai persiapan pasukan, saya lihat kami mendapat barisan pemain yang mencukupi mengikut kehendak jurulatih Elavarasan. Kami juga sedang mengadakan perbincangan untuk melengkapkan kuota pemain import dengan menandatangani penyerang dari Argentina, Lucas Sebastian Espindola.

“Dia merupakan bekas pemain akademi Newell’s Old Boys dan dijangka menjadi pengganti Gabriel Guerra yang berhijrah ke Johor DT. Namun, dia masih di peringkat percubaan dan kami perlukan penilaian jurulatih sebelum menawarkan kontrak kepadanya,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2017 @ 9:13 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan