Khamis, 22 Disember 2016

Semut Merah intai Safee

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: Selepas memuktamadkan sembilan tonggak baharu membabitkan bekas pemain kebangsaan, PKNS FC dikhabarkan bakal mengikat seorang lagi penyerang bagi menguatkan barisan depan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.

Pemain yang dimaksudkan ialah bekas penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Safee Sali (gambar) yang difahamkan bakal menyertai skuad Semut Merah daripada Johor Darul Ta’zim (Johor DT) selepas hampir tiga musim bersama Harimau Selatan.


Pengurus PKNS FC Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata, perbincangan mengenai kontrak pemain kelahiran Kajang, Selangor itu masih di peringkat awal dan jika semuanya berjalan lancar kemungkinan peledak Harimau Malaysia itu bakal menjadi pemain ke-10 PKNS FC.

“Ketika ini saya belum boleh mengesahkan kehadiran Safee ke PKNS kerana terdapat beberapa perkara yang perlu dipersetujui kedua-dua belah pihak.

“Namun saya juga tidak menafikannya kerana kami sememangnya sedang memburu penyerang tempatan untuk digandingkan dengan Patrick Ronaldinho di bahagian depan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Skuad kendalian E Elavarasan yang muncul naib juara Liga Perdana di belakang Melaka United musim lalu akan beraksi dalam kancah Liga Super yang lebih mencabar dan sengit.

Selain Safee, Elavarasan turut berjaya memancing sembilan pemain tempatan yang bertaraf ‘bintang’ seperti Zamir Selamat (Perak), Azmi Muslim (Selangor), Affizee Mamat (Terengganu), Fauzan Dzulkifli (Pulau Pinang), Bobby Gonzales dan S Sivanesan (FELDA United) Khyril Muhymeen (Air Asia), Sabree Mat Abu (Kedah) dan K Gurusamy (Sarawak).

Jelasnya, walaupun ada sesetengah pihak melabel bekas penyerang kelab Indonesia, Pelita Jaya itu sebagai ‘kuda tua’, Mahfizul sebaliknya percaya faktor usia bukan penghalang buat tonggak berusia 32 tahun itu untuk menyerlah bersama PKNS.

“Dia datang daripada Johor DT yang memiliki pasukan hebat serta barisan kejurulatihan terbaik. Saya percaya dia masih lagi kuat untuk membantu kami.

“Lagipun, pengalaman luasnya dalam saingan liga domestik serta antarabangsa boleh dimanfaatkan sebaiknya sekali gus memastikan pasukan memberi tentangan sengit nanti,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 9:40 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan