Jumaat, 20 Januari 2017

'Kenapa tak periksa sebulan awal?'

Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penyerang PKNS FC Safee Sali mempersoalkan tindakan pengelola liga tempatan Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) lambat membuat pemeriksaan ke atas stadium untuk saingan Liga-M.

Katanya, kegagalan pasukan PKNS FC menggunakan Stadium Shah Alam di sebelah malam gara-gara lampu limpah yang tidak mencapai piawaian 1,500 lux seperti mana ditetapkan penganjur mampu dielakkan sekiranya pemeriksaan itu dijalankan lebih awal.


“Kenapa tidak melakukan pemeriksaan sebulan lebih awal? Pemeriksaan itu sepatutnya boleh dilakukan lebih awal dan keputusan saat akhir ini boleh menjejaskan perancangan pasukan.

“Saya kecewa dengan permulaan musim sebegini. Mungkin ada yang tidak kena dengan FMLLP. Dalam hal ini, kita tidak boleh salahkan pengurusan stadium atau pengurusan pasukan.

“Bermain pada sebelah petang nampak begitu tidak sesuai kerana akan bermain tanpa penyokong tapi jika itu terjadi, kami perlu bersedia untuk keputusan yang lebih positif,” katanya kepada Arena Metro.

Sebelum ini, skuad Semut Merah itu terpaksa mendapatkan venue lain selepas Stadium Shah Alam disahkan tidak mencapai tahap kecerahan lampu ditetapkan FMLLP dan akan ditutup sehingga hujung Mac ini.

Venue yang berada dalam radar PKNS untuk kegunaan sementara pada sebelah malam ketika ini adalah Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut dan Stadium MBPJ.

Bekas penyerang kelab Pelita Jaya dalam Liga Indonesia itu juga tidak menganggap dirinya sebagai bintang dan menegaskan kejayaan berpasukan menjadi matlamat utamanya musim ini.

“Bola sepak memerlukan usaha secara berpasukan dan rakan sepasukan menghormati saya atas dasar pengalaman yang luas.

“Selepas mencapai pelbagai kejayaan bersama pasukan lain, kali ini saya berhasrat mahu melakar kejayaan bersama PKNS untuk dihadiahkan kepada mereka yang memberi peluang kepada saya,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 12:27 PM


Tiada ulasan:

Catat Ulasan