Ahad, 20 Oktober 2019

Safee layak jadi kapten'


MyMetroNode
 
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pengkritik, Serbegeth Singh percaya skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee akan mempunyai nafas baru jika penjaring terbanyak Piala AFF 2010, Safee Sali (gambar) diberi tugas selaku kapten Harimau Malaysia.

Katanya, berbekalkan pengalaman luas di pentas antarabangsa dengan pelbagai kejayaan manis dilakar penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Safee diyakini mampu memikul tanggungjawab itu terutama dalam memotivasikan pemain lain.

“Selepas persaraan mengejut empat pemain termasuk ketua pasukan negara Safiq Rahim baru-baru ini, saya nampak pemain paling berpotensi boleh menggantikannya ialah Safee.

“Walaupun usianya sudah menjangkau 32 tahun, dia mempunyai semangat tinggi melawan kuat seperti mana ditunjukkan sepanjang bersama Johor DT.

“Dia masih lagi menjadi pilihan utama Mario Gomez biarpun tidak menjaringkan gol namun gerakannya banyak membantu rakan lain mendapatkan jaringan.

“Saya tidak menilai dia dari segi umur sebaliknya persembahannya di padang.

“Saya percaya jika Kim Swee melantiknya sebagai ketua pasukan, mungkin pasukan kali ini akan tampil lebih mantap berbanding dua tahun lalu,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

Safee yang muncul pemain profesional pertama tempatan beraksi dalam Liga Super Indonesia bersama Pelita Jaya pada 2011, dilabel antara penyerang terbaik rantau ini selepas aksi memukau yang membantu Malaysia menjuarai Piala AFF 2010 di samping turut meraih anugerah penjaring terbanyak.

Malah, ada juga yang membayangkan kelibatnya persis legenda bola sepak negara, Allahyarham Mokhtar Dahari yang terkenal dengan gelaran SuperMokh.

Mengenai peluang pasukan negara, Serbegeth berkata, berdasarkan aksi kelab Myanmar dalam saingan Piala AFC iaitu Ayeyawady United dan Yangon United, beliau melihat pasukan tuan rumah itu sebagai ‘pengacau’.

“Vietnam pula tidak sebaik pasukan sebelum ini kerana mereka sedang mempersiapkan pasukan baru, manakala juara di pusingan kelayakan pula selangkah di belakang kita. “Jadi enam mata wajib diraih ke atas dua-dua pasukan itu manakala dengan Myanmar, mungkin 50-50,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2016 @ 8:54 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan