Ahad, 20 Oktober 2019

Detik ‘kuda tua’


MyMetroNode
Kuala Lumpur: Penyerang Harimau Malaya Safee Sali ibarat ‘mati hidup semula’ selepas meledak gol untuk mencetuskan inspirasi pasukan negara menewaskan musuh tradisi Singapura 3-2 pada aksi getir Kumpulan B Piala AFF 2014, kelmarin.

Gol pembukaan pemain kontroversi itu di Stadium Nasional, Kallang pada minit ke-60 itu jaringan pertamanya dalam perlawanan kompetitif sejak November 2012, namun ia dilihat lebih bermakna daripada itu.

Berikutan ramai pihak menganggap karier Safee, 30, di pentas antarabangsa sudah berakhir susulan prestasi hambar serta kontroversi penyebaran gambarnya sedang menghisap rokok di salah sebuah restoran di Singapura sehari sebelum perlawanan, dia memilih waktu yang tepat untuk melenyapkan kritikan itu.

“Saya gembira dapat menjaringkan gol untuk membantu kemenangan pasukan. Kejayaan malam ini (kelmarin) akan melenyapkan semua masalah sebelum ini.

“Terima kasih juga kepada rakan sepasukan yang sama-sama berjuang untuk membuktikan isu luaran tidak mengganggu fokus kami,” katanya.

Safee, pemenang anugerah Kasut Emas dengan ledakan lima gol sewaktu membantu Malaysia menjuarai Piala AFF 2010 terus mendapat kepercayaan jurulatih Dollah Salleh untuk berada dalam kesebelasan utama menentang Singapura meskipun tidak menyerlah ketika tewas 2-3 kepada Thailand sebelum itu.

Bagaimanapun bintang Johor Darul Ta’zim itu membalas kepercayaan Dollah dengan menyumbat gol pertama menerusi rembatan deras ke gawang tuan rumah selepas percubaan terbaiknya pada babak pertama terkena tiang.

Safee yang kini sudah mengumpul lapan gol dalam tiga kejohanan Piala AFF percaya dia kini sudah mendapat keyakinan untuk membantu negara melepasi halangan Vietnam di separuh akhir pertama di Shah Alam, Ahad ini dan Hanoi (11 Disember).

“Alhamdulillah saya sudah mendapat semula keyakinan dan berharap ia berterusan sehingga ke separuh akhir.

“Saya tidak meletakkan sebarang sasaran peribadi (penjaring terbanyak) kerana apa yang penting kemenangan pasukan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Disember 2014 @ 5:03 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan