Isnin, 29 Mei 2017

Safee tak peduli digelar kuda tua



Ahad, 28 Mei 2017 @ 11:18 AM
Oleh Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my
 
SAFEE Sali . - Foto Osman Adnan KUALA LUMPUR: Penyerang senior skuad kebangsaan, Safee Sali tidak terkesan apabila dilabel sebagai 'kuda tua' selepas dipanggil membarisi skuad Harimau Malaya meskipun usia sudah menginjak 33 tahun.

      Penyerang PKNS FC itu berkata, panggilan mewakili skuad kebangsaan adalah satu penghormatan buat dirinya dan memberi petanda betapa barisan kejurulatihan tetap memberi kepercayaan kepadanya untuk terus menyarung jersi kebanggaan itu.

      "Panggilan mewakili negara adalah hak barisan kejurulatihan dan jika nama saya tersenarai, itu sudah cukup membuktikan bahawa khidmat saya masih diperlukan oleh pasukan kebangsaan.

      "Saya sedia berkhidmat selagi mana saya terdaya untuk beraksi. Saya sama sekali tidak akan menolak permintaan skuad negara kerana beraksi buat pasukan kebangsaan adalah sesuatu yang menjadi impian setiap pemain profesional.

     "Saya tidak kisah apa pandangan orang terhadap saya kerana bukan mereka yang beraksi di atas padang. Saya tahu saya masih boleh menyumbang untuk skuad kebangsaan," katanya ketika dihubungi BH Sukan.

      Bekas penyerang Pelita Jaya itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas jurulatih skuad kebangsaan era 60-an, Datuk Peter Velappan yang menyifatkan Harimau Malaya dibarisi 'kuda tua' selepas sembilan pemain yang berusia lebih 30 tahun dipanggil menyertai latihan pusat kali ini. Skuad kebangsaan terlalu bergantung kepada kelibat pemain yang dianggap sudah melebihi usia kemuncak sekali gus menutup peluang pemain muda untuk mewakili negara.

      Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) itu bagaimanapun tidak menafikan sumbangan dan pengalaman yang dimiliki kelompok pemain senior tetapi ia perlu diadun bersama keringat pemain muda bagi menghasilkan impak yang positif dalam skuad kebangsaan.

SUMBER-Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/287276

Tiada ulasan:

Catat Ulasan