Isnin, 10 April 2017

Skuad Olimpik terima tamparan



ARKIB : 03/02/2004
Oleh A. JAILANI ABDULLAH

SKUAD bola sepak Bawah 23 negara menerima tamparan dalam persiapan mereka untuk kelayakan Olimpik apabila empat pemain tonggak termasuk Akmal Rizal Rakhli dan Norhafiz Zamani Misbah mengalami kecederaan, dan tidak mungkin dapat diuji dalam perlawanan persahabatan dengan Maldives kata jurulatih, Allan Harris semalam.

Selain pemain penyerang dan ketua pasukan itu, Harris turut kehilangan pemain tengah, Indra Putra Mahayuddin dan pemain tengah, Juzaili Samion.

Walaupun, empat pemain itu melaporkan diri ke kem latihan pusat semalam, namun mereka hampir pasti tidak sempat untuk puluh daripada kecederaan sebelum perlawanan persahabatan dengan Maldives Khamis ini.

Akmal mengalami kecederaan ketika bermain untuk Kedah dalam perlawanan ujian dengan PKNS Selangor dua hari lepas.

``Mujur juga kecederaannya tidak begitu teruk,'' kata Harris di Wisma FAM semalam. ``Tetapi walaupun kecederaan buku lalinya semakin pulih, dia tentu tidak akan cukup cergas untuk pertemuan dengan Maldives.''

Indra Putra turut mengalami kecederaan buku lali kiri ketika bermain untuk Pahang dalam perlawanan persahabatan dengan Selangor baru-baru ini.

Kecederaan dua pemain lain seharusnya lebih membimbangkan Harris.

Ketua pasukan dan pemain pertahanan dari Negeri Sembilan, Norhafiz jelas memerlukan lebih masa untuk pulih sejak patah buku lali dalam pertemuan dengan Singapura pada Sukan SEA di Vietnam Disember lepas. Pemain tengah dari Pahang, Juzaili juga kelihatan agak perlahan setelah menjalani pembedahan lutut, juga tahun lepas.

Skuad Harris mempunyai beberapa muka baru dalam senarai 25 pelatih untuk kelayakan Olimpik Athens. Perlawanan pertama Malaysia dalam kelayakan ialah menentang Iran pada 3 Mac di Stadium Petaling Jaya.

Selain Iran, pencabar Malaysia dalam pusingan kelayakan ialah China dan Korea Selatan.

``Saya ada beberapa muka baru dalam skuad kali ini. Latihan beberapa hari ini akan saya gunakan untuk memberi peluang kepada mereka menyesuaikan diri dengan pasukan,'' kata Harris.

Untuk latihan pusat, Harris telah memanggil muka-muka baru iaitu dua pemain dari Kuala Lumpur, Mohd. Safee Sali dan Mohd. Zulkifli Affendi Zakri. Jurulatih dari England itu turut memanggil Tengku Alias Tengku Ibrahim dan Tengku Mohd. Adam Tengku Rosly dari Terengganu dan M. Ravinthiran dari Perak.

SENARAI PELATIH:
Mohd. Safee Mohd. Sali, Mohd. Zulkifli Affendi Mohd. Zakri (Kuala Lumpur); Akmal Rizal Rakhili, Rezuan Radzy, Muhammad Al Hafiz Hamzah (Kedah); Mohammad Syaiful Sabtu, Norhafiz Zamani Misbah, K. Rajan, Yosri Dermaraju (Negeri Sembilan); Abdul Aziz Ismail (Pulau Pinang); Irwan Fadli Idrus, Mohd. Fazli Shaari, Indra Putra Mahayuddin (Pahang); M. Ravinthiran, R. Surendren (Perak), Ronny Harun (Sabah); Muhammad Faizal Abdul Rashid, Mohd. Amri Yahyah, Rudie Ramli (Selangor); Mohd. Haris Safwan Kamal (Selangor MPPJ); Mohd. Syamsuri Mustafa, Mohd. Mazuki Yusof, Mohd. Norhisham Hassan, Tengku Alias Tengku Ibrahim, Tengku Adam Rosly (Terengganu).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4drQAeqlM
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan