Selasa, 11 April 2017

Kemenangan bawa kelegaan buat Harris



ARKIB : 06/02/2004
SKUAD bola sepak Olimpik negara mencatat kemenangan 2-0 ke atas Maldives, keputusan yang harus melegakan Allan Harris namun jurulatih itu sedikit terkilan kerana pasukan bimbingannya kurang mendapat pendedahan menjelang kelayakan Olimpik, bulan depan, lapor johari shawal.

Harris tidak menyembunyikan kekecewaannya itu ketika ditemui pemberita selepas perlawanan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

``Ini adalah perlawanan pertama kami di peringkat antarabangsa. Mana mungkin saya dapat sediakan pasukan yang baik jika kami tidak dapat peluang bermain lebih banyak perlawanan persahabatan.

``Memang kami perlukan banyak perlawanan seperti ini untuk menghadapi kelayakan besar seperti itu (kelayakan Olimpik),'' kata Harris.

Skuad negara mengharungi misi sukar dalam kelayakan Sukan Olimpik ke Athens bulan depan apabila diletakkan sekumpulan dengan tiga pasukan gergasi Asia, Iran, Korea Selatan dan China.

Malaysia akan membuka kempen kelayakannya menentang Iran pada 3 Mac di Stadium Petaling Jaya.

Harris berkata, sehingga kini beliau tidak mendapat sebarang khabar sama ada FAM ada mengatur lagi sebarang perlawanan persahabatan untuk pasukannya.

Dalam perlawanan semalam, kedua-dua gol Malaysia dijaringkan pada separuh masa kedua menerusi Tengku Adam Tengku Rosly hasil sepakan penalti pada minit ke-57 dan rembatan padu penyerang, Mohd. Safee Sali minit ke-73.

``Pemain nampak agak goyah pada awal permainan tetapi kesudahannya baik,'' kata Harris.

Skuad negara turun tanpa empat tonggak iaitu penyerang, Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin, Juzaili Samion dan ketua pasukan, Norhafiz Zamani Misbah kerana cedera.

``Saya harap Akmal akan pulih menjelang perlawanan menentang Iran nanti begitu juga dengan Juzaili. Keadaan Zamani pula masih tidak dapat dipastikan, Indra pula 50-50,'' katanya.

Skuad bawah 23 negara akan pulang ke pasukan negeri masing-masing sebelum kembali dihimpunkan pada 23 Februari.

Pasukan kebangsaan Maldives pula dalam persiapan untuk kelayakan Piala Dunia. Mereka diletakkan dalam Kumpulan 7 bersama Korea, Vietnam dan Lebanon.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dvdJMZLF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan