Sukan
Selasa, 24 Februari 2015 |
10:53pm
Piala AFC: JDT tunjuk belang
benam East Bengal 4-1
Pemain JDT, Safee Sali (depan)
meraikan jaringannya pada perlawanan Piala AFC 2015 menentang East Bengal di
Stadium Larkin, Johor Bahru sebentar tadi. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim
(JDT) memulakan kempen Piala AFC dengan nota ceria selepas membelasah East
Bengal 4-1 dari India dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F di Stadium Tan Sri
Hassan Yunos, Larkin di sini, malam ini.
Dua gol pada setiap babak
permainan memberi anak didik Bojan Hodak satu permulaan positif dalam kejohanan
peringkat benua dengan mengutip tiga mata pertama dalam saingan yang jelas
menjadi dominasi skuad Harimau Selatan.
Ketiadaan dua penyerang import, Jorge
Pereira Diaz dan Luciano Figueroa tidak begitu terasa ketika pemain JDT masih
mampu menampilkan corak permainan kemas untuk melakar kemenangan besar di laman
sendiri.
Tuan rumah bermula agresif dan
berjaya mendahului seawal minit ke-9 apabila Nazrin menjaringkan gol cantik
hasil sepakan percuma.
Namun, pelawat kembali dalam
saingan untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-35 menerusi Soleye Ranti
Martins juga daripada usaha sama.
Tersentak, JDT bangkit
mengemaskan permainan dan berjaya mendahului 2-1 pada minit ke-39 selepas
dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil dari Thailand, Sivakorn Pu-Udom
selepas bola terkena tangan pertahanan East Bengal, Milan Susak.
Safiq Rahim yang diberikan
tugasan mengambil sepakan itu menyempurnakan dengan baik menewaskan penjaga gol
pasukan pelawat, Mondal Abhijit.
Selepas rehat, JDT hanya menunggu
dua minit untuk melebarkan penguasaan dengan gol ketiga yang memerangkap
benteng East Bengal selepas S Chanturu menjaringkan gol dengan tolakan kemas
hasil umpanan baik daripada Mohamad Fadhli Shas.
Safee Sali mengukuhkan kedudukan
tuan rumah dengan jaringan keempat pada minit ke-54 hasil satu sepakan gunting
yang cantik di sebelah kanan pintu gol lawan.
Perlawanan berikut Harimau
Selatan adalah menentang Belestier Khalsa dari Singapura pada 10 Mac dan kelab
Hong Kong, Kitchee pada 18 Mac ini.[1]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan